GEORGE TOWN – Majoriti mangsa serangan binatang buas dan berbisa mendedahkan mereka tidak mengetahui mengenai pampasan yang boleh diperolehi antara RM1,000 hingga RM10,000.
Pampasan mengikut tahap kecederaan berkenaan disalurkan menerusi Kumpulan Wang Amanah Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas (KWABMSBB) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Seorang mangsa gigitan ular sawa, Mohd. Redzuan Abdullah Zawawi, 38, berkata, dia tidak menyangka sama sekali tentang kewujudan bantuan kewangan daripada agensi terbabit kepada mangsa patukan ular mahupun serangan babi hutan.
Dia yang merupakan sukarelawan menangkap pelbagai spesies ular memberitahu, ini merupakan berita yang melegakan sekali gus menyambut baik akan jaminan kebajikan yang disediakan pihak kerajaan.
“Sudah lebih 10 tahun saya berdepan dengan kerja-kerja sukarelawan menangkap dan menjinakkan binatang berbisa terutama ular sawa, tedung selar, seduk dan kapak.
“Februari tahun lalu, buat pertama kali saya menjadi mangsa gigitan seekor ular sawa seberat 15 kilogram dengan panjang tiga meter ketika mahu menangkap spesies itu yang masuk di celah tayar sebuah bas kilang kira-kira pukul 10 malam.
“Akibat kejadian itu, tangan kanan terpaksa dijahit sebanyak 19 jahitan selain terpaksa menanggung kesakitan selama sebulan serta terasa kebas sehingga ke hari ini.” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Mohd. Redzuan turut merayu agar bantuan pampasan tersebut turut diberikan kepada kategori mangsa serangan binatang buas dan berbisa yang hanya mengalami kecederaan parah tanpa kehilangan anggota.

buah-buahan di Kampung Kubang Siput, Kota Bharu bulan lalu.
Di Kota Bharu, seorang warga emas yang parah akibat disondol seekor babi hutan sewaktu mengutip buah durian di sebuah dusun bulan lalu mengakui dia tidak mengetahui mengenai bantuan atau pampasan akibat serangan binatang buas daripada JKM.
Omar Ngah, 78, berkata, kejadian pada 6 Julai lalu itu menyebabkan kepalanya dijahit, luka di telinga dan cedera pada tangan kirinya.
Katanya, dia tidak menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak sejak kejadian tersebut.
Cerita Omar, meskipun sudah sebulan lebih kejadian itu, dia masih trauma malah tidak membenarkan isteri, anak dan cucu bermain di halaman rumah mereka di Taman Desa Wangi, Kampung Kubang Siput, Pasir Tumboh di sini.
“Alhamdulillah, kecederaan yang dialami ekoran kejadian itu sudah semakin sembuh, namun saya tetap perlu menjalani rawatan susulan terutamanya mengurut dengan tukang urut.
Berita berkaitan: Orang Kedah, Kelantan paling banyak dipatuk ular, disondol babi hutan
Berita berkaitan: Duit pampasan ringankan beban balu mangsa serangan buaya
“Sejujurnya, saya langsung tidak tahu mangsa serangan binatang buas layak menerima bantuan atau pampasan JKM.
“Sepanjang terlantar sakit, saya menggunakan wang sendiri sebanyak RM1,000 untuk membeli ubat-ubatan di farmasi,” luahnya.
Menurut Omar, dia mengetahui mengenai perkara itu selepas dimaklumkan oleh wartawan Kosmo! dan berharap JKM dapat membantu memberi bantuan memandangkan kesihatannya sudah tidak seperti dahulu selepas kejadian tersebut.
Katanya, pampasan daripada kerajaan amat diperlukan demi kelangsungan hidup bersama isterinya, Zakiah Deraman, 75, yang turut mengalami masalah kesihatan.
“Saya tidak tahu prosedur untuk memohon bantuan atau pampasan itu. Sekiranya ada, saya akan meminta anak atau cucu untuk menguruskannya dan berharap permohonan diluluskan.
“Saya lihat, bantuan ini sedikit sebanyak membantu untuk membeli ubat-ubatan di farmasi sehingga sembuh seperti sediakala,” jelasnya.














