fbpx

Aaron Chia-Soh Wooi Yik selangkah ke final Kejohanan Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AARON dan Wooi Yik berharap melepasi badi separuh akhir misi memburu gelaran sulung pada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun semalam.

BEREGU lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan misi memburu gelaran sulung di pentas antarabangsa selepas melayakkan diri ke pusingan separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun semalam.

Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo itu, pilihan keenam kejohanan itu berdepan tenta­ngan sengit beregu Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Seo Seung Jae sebelum menang 21-18, 21-16 dalam tempoh 40 minit.

Kejohanan Dunia merupakan kali ketujuh beregu No. 6 dunia itu melayakkan diri ke separuh akhir musim ini.

Justeru Aaron berharap mereka mampu menamatkan badi tersebut dan melangkah ke perlawanan akhir.

“Sehingga ke perlawanan hari ini (semalam), saya fikir kami menunjukkan peningkatan dalam setiap pusingan. Bagaimanapun, masih ada beberapa perkara perlu diperbaiki, terutamanya dari segi konsis­tensi dalam gelanggang.

“Saya harap kali ini dapat melepasi halangan (separuh ­akhir) yang mana kami selalu tersekat dalam kejohanan terdahulu. Kami perlu fokus dan berikan aksi terbaik esok (hari ini),” katanya sejurus tamat perlawanan.

Sementara itu, Wooi Yik pula mengakui, permainan mereka serba menjadi ketika bertemu gandingan Korea tersebut kerana turun dalam keadaan tenang selain fokus sepenuhnya terhadap setiap pukulan yang dilakukan.

Pada masa sama, kemam­puan menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang juga ba­nyak membantu mereka untuk mengawal permainan, sekali gus memberi tekanan kepada Sol Gyu-Seung Jae sepanjang perlawanan tersebut.

“Kunci kejayaan hari ini (semalam) adalah kami bermain dengan tenang dan fokus pada permainan sendiri selain melakukan pukulan-pukulan berkualiti. Saya percaya keadaan itu meletakkan mereka dalam keadaan tertekan.

“Selain itu, kami juga sudah selesa bermain di gelanggang satu kerana pernah beraksi di situ pada perlawanan pertama. Apa yang penting esok (hari ini), kami perlu fokus pada strategi dan corak permainan bagi mengekalkan momentum,” ujarnya.

Pada aksi separuh akhir hari ini, naib juara Asia tersebut dijadualkan bertemu beregu No. 7 dunia dari India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy yang menyingkirkan wakil tuan rumah, Takuro Hoki-Yugo Koba­yashi menerusi kemenangan 24-22, 15-21, 21-14.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI