DIUJI dengan masalah tulang belakang sejak tujuh tahun lalu bukan satu perkara yang mudah untuk diterima.
Itu antara dugaan terbesar yang terpaksa ditelan vokalis ternama, Zamani walaupun telah mencuba pelbagai alternatif untuk kembali pulih.
Sejak didiagnos menghidap penyakit dikenali sebagai skoliosis yang menjadikan fizikalnya semakin bongkok, Zamani akui, kehidupannya turut berubah.
Kalau dahulu, dia mampu berdiri lama, terutama ketika menjayakan persembahan, namun kini untuk berdiri selama setengah jam pun satu penyeksaan.
Bakal menjalani pembedahan major tulang belakang awal November nanti, Zamani sebelum itu mahu bertemu peminat yang selama ini banyak menyokong kembara kerjayanya sebagai anak seni.
Biarpun awal-awal telah dimaklumkan bahawa risiko pembedahan yang memakan masa antara lapan ke 10 jam itu tidaklah begitu besar, namun Zamani berhajat tetap mahu bertemu peminat sebelum berehat panjang demi kesihatan.

Bertemu mata
“Saya berharap sangat dapat berkumpul dengan peminat setia pada malam Konsert Doa Buat Zamani Unplugged itu nanti.
“Konsert itu bukan bertujuan untuk mengejar keuntungan, sebaliknya saya hanya mahu berkumpul dengan peminat kerana tidak tahu apa yang bakal terjadi selepas pembedahan nanti.
“Seandainya sesuatu berlaku, sekurang-kurangnya saya puas hati kerana dapat berjumpa peminat,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Tambah vokalis Slam itu, konsert selama sejam setengah tersebut bakal diserikan dengan barisan idolanya dalam arena seni suara.
Antaranya ialah Datuk Ramli Sarip, Fauziah Latiff dan Rahim Maarof serta penampilan istimewa, Datuk Aznil Nawawi.

Tak terburu-buru
Ditebak, adakah konsert berkenaan dilaksanakan secara terburu-buru, Zamani menjelaskan, penganjuran persembahan tersebut sebenarnya telah dirancang awal sebelum Aznil melancarkan dana menampung kos pembedahannya dua bulan lalu.
Pelantun Gerimis Mengundang itu mengakui lebih selesa mencari sendiri dana menampung kos pembedahan dan sara hidup melalui konsert berbanding membuka atau melancarkan tabung bantuan.
“Saya sebenarnya kurang selesa untuk mewujudkan tabung bagi menampung kos pembedahan. Saya tidak mahu dilihat seperti meminta-minta atau menagih simpati.
“Sebaliknya, saya lebih suka menganjurkan konsert agar peminat boleh bersama-sama membeli tiket dan berhibur di samping membantu mana yang termampu.
“Itu membuktikan peminat sayang dan terima saya seadanya. Tetapi jika mereka tidak dapat datang beri sokongan pada malam itu, tidak mengapa.
“Cukuplah doakan saya dari jauh,” ujarnya berterima kasih dan menghargai usaha Aznil yang berjaya mengumpul lebih RM100,000 untuk kos rawatannya.
Menerusi konsert November nanti, penyanyi berusia 51 tahun itu bakal membawakan enam buah lagu yang jarang dibawanya dalam persembahan pentas antaranya Syair Si Pari Pari, Nur Kasih dan Rindiani.

Konsert tanpa Slam
Meneruskan perbualan pemilik nama sebenar Zamani Ibrahim itu berkata, konsert yang dijadualkan berlangsung di Zepp KL nanti tidak akan disertai kumpulannya, Slam.
Katanya, dia enggan mengganggu perancangan anggota lain memandangkan kumpulan yang disertai sejak 1991 itu sedang dalam persiapan sebuah lagi konsert menjelang tahun depan.
“Pada asalnya kita bercadang bawa kumpulan Slam. Namun, disebabkan mereka akan terbabit dengan konsert tahun depan, saya tidak mahu ganggu mereka.
“Buat masa ini, ada dua band yang akan mengiringi persembahan saya dan rakan-rakan. Namun, kami masih belum putuskan dengan band mana kami akan bekerjasama.
“Insya-Allah jika tiada aral melintang, penonton bakal disajikan dengan 15 lagu saya dan rakan-rakan yang mana dewan mampu memuatkan kira-kira 1,400 orang.
“Besar harapan saya tiket konsert tersebut bakal habis terjual nanti,” ujarnya.
Sempat diaju soalan mengenai debaran bakal menjalani pembedahan, Zamani mengakui mula diulit kegusaran.
“Pada 2015, saya diberitahu risiko yang bakal saya tanggung selepas pembedahan adalah 70 peratus akan duduk atas kerusi roda dan 30 peratus lagi berjaya.
“Sebab itulah, saya asyik tangguhkan pembedahan dan mencari rawatan alternatif sebelum akhirnya setuju dibedah,” katanya yang berhasrat tidak mahu rehat panjang usai pembedahan.
Sehingga kini, tiket-tiket konsert yang berharga RM238 bagi kategori Nur Kasih; RM288 (Rindiani); RM388 (Maria Mariana) dan RM499 (Kurnia) masih dijual menerusi www.mytickets.asia.















