fbpx

[VIDEO] Mahkamah: Najib mohon maaf jika keputusan tidak berpihak padanya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib bertemu penyokong di luar Mahkamah Persekutuan sebentar tadi./FOTO FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

PUTRAJAYA- “Saya minta maaf, saya telah berusaha sedaya upaya, tetapi nampaknya setiap usaha yang dimohon kepada mahkamah telah ditolak.”

Demikian kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebaik melangkah keluar dari Mahkamah Persekutuan di sini.

Najib kemudian menemui kumpulan penyokongnya yang berada di luar mahkamah tadi.

“Untuk penyokong-penyokong, saya ucapkan terima kasih kerana hadir untuk memberi sokongan padu dan tidak berbelah bahagi kepada saya.

“Saya telah berusaha sedaya upaya, tapi nampaknya setiap apa yang saya pohon daripada mahkamah telah ditolak,” katanya di sini sebentar tadi.

Najib ketika hadir perbicaraan rayuan sabitan dan hukuman penjara hari ini.
Foto FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

Katanya, beliau tidak tewas dalam kes itu, sebaliknya menyifatkan tidak mendapat keadilan memandangkan tiada seorang peguam mewakilinya dan tempoh masa secukupnya untuk membuat persediaan.

“Kali pertama dalam tempoh saya didakwa ini, saya minta penangguhan selama tiga bulan, tetapi itu pun telah ditolak.

“Kes lain mereka dapat penangguhan lebih daripada 70 kali, tetapi bagi kes saya, sekali minta pun tidak diizinkan.

“Sekarang ini, kita tunggu apa-apa keputusan. Kalau keputusannya buruk (hari ini), saya minta maaf, yang penting perjuangan kita perlu diteruskan,” ujarnya.

Penyokong Najib berkumpul di pekarangan Mahkamah Persekutuan hari ini.
Foto FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

Pada masa sama, Najib juga meminta penyokongnya meneruskan perjuangan dan terus mendoakan perbicaraannya.

Terdahulu, Najib meluangkan masa kira-kira lima minit bagi berjumpa dengan penyokongnya yang setia berada di luar mahkamah sejak pukul 8 pagi.

Susulan kenyataan Najib itu, ada penyokong yang menangis selain melaungkan perkataan zalim merujuk kepada keputusan dibuat mahkamah terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Prosiding ke atas Najib masih diteruskan buat masa ini dan tiada keputusan rasmi dikeluarkan Mahkamah Persekutuan berhubung kes penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn. Bhd. setakat ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI