fbpx

Lihat dahulu kerusi DUN BN menang tipis – Razman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razman (kanan) ketika sidang akhbar selepas Lawatan Kerja Pembinaan Jeti Nelayan MyKP Persatuan Nelayan Air Tawar (Peniat) Sungai Galah, di Kampung Gajah di sini hari ini. - Foto MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID

PASIR SALAK – Barisan Nasional (BN) diminta menjaga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang parti itu dengan kemenangan tipis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu terlebih dahulu sebelum merampas kerusi yang disandang parti lain.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, BN perlu sedar bahawa mereka juga mempunyai dua kerusi DUN di negeri ini yang dimenangi dengan majoriti kurang daripada 100.

Menurutnya, sebelum parti tersebut berhasrat merampas lima kerusi DUN yang mereka kalah dengan majoriti tipis adalah lebih baik menjaga kerusi yang disandang mereka dengan majoriti kurang daripada 500 pada PRU lalu.

“(DUN) Changkat Jong UMNO menang (dengan majoriti undi) 67, DUN Selinsing dia menang (dengan majoriti undi) 97. Dia pun ada marginal juga.

“Jadi kalau dia (BN) cerita hendak rampas kerusi yang lain, dia jagalah juga keselamatan kerusi-kerusi yang bawah pada (majoriti) 500 ini,” katanya kepada pemberita selepas hadir dalam Lawatan Kerja Pembinaan Jeti Nelayan MyKP Persatuan Nelayan Air Tawar (Peniat) Sungai Galah di Kampung Gajah di sini, hari ini.

Menurut Razman seharusnya BN memikirkan untuk menjaga keamanan negeri serta negara dan bukanlah menjaga kelompok-kelompok tertentu.

“Sebab itu kita minta supaya kita boleh duduk bersama menjaga keamanan negara,” katanya selepas diminta mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Mohamad Hasan iaitu BN mensasarkan lima kerusi parti itu tewas mudah pada PRU-14 dengan majoriti tidak melebihi 1,000 dan mampu dirampas semula pada PRU-15.

Pada PRU-14, BN tewas dengan majoriti tipis di lima kerusi iaitu DUN Chenderiang (39 undi), DUN Titi Serong (140 undi) dan DUN Behrang (409 undi) serta dua lagi kerusi dimenangi Pas iaitu di DUN Selama (289 undi), DUN Kubu Gajah (180 undi). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI