fbpx

Bajet 2023: Fokus kebajikan, kesejahteraan Keluarga Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri diiringi Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika hadir pada Majlis Konsultasi Bajet 2023 di Kementerian Kewangan di sini, hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kerajaan akan memastikan Bajet 2023 dirangka berteraskan kesejahteraan serta kebajikan rakyat segenap lapisan masyarakat selain mengambil kira cabaran yang bakal dihadapi pada tahun hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara tumpuan utama kerajaan adalah untuk memastikan pemulihan pasca Covid-19 turut mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat serta kelangsungan perniagaan.

“Dalam menghadapi ketidaktentuan global, Bajet 2023 akan turut memberi tumpuan kepada golongan rakyat yang memerlukan bantuan dengan menambah baik sistem perlindungan sosial serta meningkatkan kesejahteraan hidup melalui perkhidmatan kesihatan dan pendidikan berkualiti.

“Kerajaan akan turut memberi tumpuan kepada persekitaran hidup yang selamat dan selesa dengan menitikberatkan pembangunan yang inklusif serta mampan agar semua ahli Keluarga Malaysia dapat
menikmati manfaat pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Konsultasi Bajet 2023 di bangunan Kementerian Kewangan (MOF) di sini hari ini.

Menurut Perdana Menteri, Konsultasi Bajet 2023 merupakan platform libat urus antara kerajaan dan sektor swasta, akademia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan masyarakat sivil (CSO) bagi sama-sama merangka bajet negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Saya difahamkan sebanyak lebih daripada 3,000 isu dan 2,000 cadangan telah diterima daripada 242 agensi termasuk cadangan mengenai percukaian.

“Isu dan cabaran yang dibangkitkan serta kaedah penyelesaian yang dicadangkan untuk menanganinya akan diperhalusi dan diteliti sewajarnya,” ujar beliau.

Tambah Ismail Sabri, antara isu dan cadangan yang diutarakan adalah pemberian subsidi dan perlindungan sosial; kelangsungan perniagaan dan kemampanan industri termasuk mengurang kos menjalankan perniagaan, meningkatkan pembangunan sumber manusia dan tenaga mahir, produktiviti, teknologi dan digitalisasi dalam perniagaan.

“Terdapat juga cadangan untuk memperkukuhkan kerjasama pelbagai pihak untuk mempercepatkan pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2030 di peringkat nasional yang berperanan sebagai pemangkin kepada kesejahteraan sosioekonomi Keluarga Malaysia.

“Cadangan-cadangan tersebut selari dengan bidang fokus bajet dan akan diperincikan untuk dirangka langkah Bajet 2023 yang sesuai,” katanya.

Ujar beliau, majlis tersebut mencerminkan komitmen kerajaan untuk melibatkan semua pihak berkepentingan dalam proses penyediaan bajet untuk rakyat demi kesejahteraan Keluarga Malaysia

“Perbincangan hari ini adalah merupakan titik permulaan kepada sesi libat urus yang lebih komprehensif untuk memperhalusi input Bajet 2023 dan MOF akan mengadakan siri mesyuarat kumpulan fokus untuk membincangkan bidang-bidang terpilih.

“Seluruh Keluarga Malaysia dijemput untuk mengemukakan cadangan berkaitan Bajet 2023 di dalam Portal Cadangan Bajet 2023 dengan melayari laman web Kementerian Kewangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI