fbpx
KEADAAN Perodua Kelisa dinaiki Nurul Emylia (gambar kecil) bersama rakan lelakinya yang terbakar selepas terbabit insiden dengan sebuah lori di Kilometer 85 Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja dekat Setiu, kelmarin.

Gadis luah mahu berhenti kerja sebelum rentung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH – Keluarga pembantu kedai makan berusia 20 tahun yang rentung dalam kemalangan kelmarin tidak menduga hasrat wanita itu untuk berhenti kerja beberapa hari sebelum nahas bagaikan petanda dia akan pergi selamanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.05 petang itu, Nurul Emylia Natasha Zulkifli maut apabila kereta Perodua Kelisa dinaiki­nya terbakar selepas berlanggar dengan sebuah lori di Kilometer 85, Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja dekat Setiu, Terengganu.

Pemandu kereta Perodua Kelisa terbabit, Mohammad Ikhwan Hakim Daud, 21, yang juga kawan Nurul Emylia dan pemandu lori, Mohd. Noridzuan Zainudim, 28, hanya mengalami kecederaan pada bahagian leher selepas berjaya menyelamatkan diri.

Sepupu mangsa, Nor Intan Liana Nordin, 38, berkata, Nurul Emylia atau lebih mesra disapa Yaya bekerja di sebuah kedai nasi ayam di pusat bandar Pasir Puteh untuk membantu me­ringankan bebanan keluarga selepas ayah tirinya menghidap penyakit angin ahmar, manakala ibunya tidak bekerja.

Menurutnya, beberapa hari sebelum insiden berkenaan Yaya ada menyuarakan hasratnya untuk berhenti kerja sebagai pembantu kedai buat selama-lama­nya, namun tidak menyatakan alasan berbuat demikian.

“Dia (Yaya) seorang yang ceria dan sering berkongsi semua perkara kepada keluarga, namun sikapnya mula berubah menjadi pendiam sejak seminggu lalu le­bih-lebih lagi apabila menyatakan hasrat untuk berhenti kerja.

“Yaya juga ada mengajak rakan-rakannya keluar ke pasar malam sehari sebelum kejadian untuk membeli chicken chop ke­rana dia teringin sangat de­ngan hidangan itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Pulau Lima di sini semalam.

Nor Intan Liana menunjukkan gambar sepupunya yang maut dalam kemalangan di Setiu, Terengganu.

Menurut Nor Intan Liana, pada hari kejadian arwah keluar untuk menghadiri taklimat khas pengambilan lesen memandu di sebuah institusi memandu di Bachok bersama seorang kenalan lelakinya dan mereka berdua mungkin ke Kuala Terengganu selepas itu.

Katanya, seluruh ahli keluarga tahu mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 7 malam selepas menerima panggilan telefon daripada pihak polis.

Tambah Nor Intan Liana, jenazah Nurul Emylia disolatkan di Masjid Kampung Pulau Lima di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tebing Tinggi selepas solat Asar semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, sewaktu kejadian, Nurul Emylia dan Mohammad Ikhwan Hakim dalam perjalanan pulang ke Pasir Puteh, Kelantan dari Kuala Terengganu.

Keadaan kereta yang terlibat dalam kemalangan sehingga mengorbankan satu nyawa di Setiu.

“Pada masa sama, sebuah lori milik sebuah butik pengantin sedang menghala ke kawasan hutan berhampiran lokasi kejadian bagi mengutip ranting kayu untuk dijadikan dekorasi pelamin sebuah majlis perkahwinan di Penarik di sini.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori itu dikatakan telah memberi isyarat membelok ke kanan, namun kereta Perodua Kelisa GX dibelakangnya cuba memotong tetapi gagal,” katanya semalam.

Afandi berkata, impak rempuhan itu, kedua-dua kenderaan terbabit telah mengalami kebakaran.

Jelas beliau, tiga pekerja butik pengantin yang berada di dalam lori jenis Isuzu berkenaan serta Mohammad Ikhwan Hakim berjaya menyelamatkan diri keluar dari kenderaan masing-masing.

“Begitu pun, seorang lagi mang­sa (Nurul Emylia) yang berada di tempat duduk penum­pang belakang gagal menyelamatkan diri.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu,” katanya.

Afandi berkata, dua lagi mang­sa yang cedera iaitu Mohammad Ikhwan Hakim dan Mohd. Noridzuan pula dirawat di unit kecemasan hospital sama dan kes kemalangan itu sedang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

POPULAR