“MENGAPAKU selalu dibuai dusta dan derita, selalu dibelai bicara manisnya, ku disakiti selalunya.”
Mungkin bait-bait lirik tersebut pernah terlintas dan tumpang melekat di dalam benak fikiran sama ada secara kebetulan ataupun tidak.
Lagu berjudul Perasaanku, itulah karya yang mula menaikkan nama si penyanyi cantik manis, Fieya Julia.
Boleh dikatakan, menerusi lagu balada ciptaan komposer berbakat Amir Hariz tersebut jugalah nama Fieya perlahan-lahan mula dikenali dalam industri seni suara sejak 2018.
Mula mengintai dunia seni suara seawal usia 19 tahun, anak kelahiran Kuching, Sarawak itu pandai mengatur langkah membawa diri sebagai pendatang baharu.
Dikurniakan pakej lengkap dengan wajah cantik dan vokal unik tersendiri yang tiada pada orang lain, Fieya mekar dengan populariti seiring bakat yang dipertaruhkan seawal kerjayanya.

Terbuka, optimis
Sayangnya, beberapa tahun kebelakangan ini, graf popularitinya mula menunjukkan sedikit penurunan terutama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Mengakui tidak mudah untuk menempatkan apatah lagi mengekalkan diri dalam industri seni, Fieya menyifatkan, dia sentiasa bersikap terbuka dalam mendepani segala cabaran yang mendatang.
Kata pemilik nama sebenar Nur Syafiah Sejali itu, dia juga sedar akan perkara tersebut (populariti menurun), namun menerima segalanya dengan positif selain tidak pernah putus harapan untuk berjaya dalam bidang yang dipilihnya.
“Memang saya akui sebelum ini ramai yang lebih mengenali nama dan lagu-lagu nyanyian saya berbanding diri saya sendiri.
“Saya tidak kisah dengan situasi itu kerana apa yang penting lagu saya sentiasa dimainkan di corong-corong radio dan diterima ramai.
“Biarpun berdepan dengan pelbagai cabaran untuk membina nama dan jenama, saya tetap bersyukur kerana masih terus berpeluang menghasilkan single baharu termasuk lagu-lagu cover untuk peminat,” katanya kepada Hib Glam.

Bangkit semula
Tambah Fieya yang juga merupakan peserta program Big Stage musim kedua, selepas pandemik Covid-19 semakin reda ketika ini, dia bersedia untuk kembali merencana semula kerjaya nyanyiannya dengan sebaik mungkin.
Tawaran dan peluang untuk menyertai siri Jelajah Suria 90 anjuran stesen Suria FM yang berlangsung di empat lokasi terpilih seluruh negara sepanjang Ogos ini secara tidak langsung menjadi indikasi buatnya mula kembali aktif dengan persembahan pentas.
“Alhamdulillah, saya sangat teruja dan berterima kasih kepada pihak Suria FM kerana memberikan peluang ini.
“Saya betul-betul rindu untuk buat persembahan pentas dan peluang yang datang ini akan saya manfaatkan sebaik mungkin,” katanya yang baru sahaja hadir dengan single rakaman semula berjudul Butakah Cinta nyanyian asal kumpulan Spring.
Ditanya tentang situasi graf popularitinya yang tidak setanding dengan rakan seperjuangan lain, tanpa berselindung, Fieya akur dengan keadaan tersebut.

“Tipulah kalau saya kata tidak pernah kecewa. Biarpun bukan itu yang menjadi keutamaan, tetapi saya tidak nafikan perkara tersebut sedikit sebanyak menyumbang kepada perjalanan kerjaya seni.
“Apa-apa pun saya percaya kepada usaha dan rezeki. Jadi saya akan terus berusaha untuk bergerak ke depan mencari peluang agar terus kekal diterima.
“Apatah lagi selepas tampil berhijab sejak tahun lalu, ramai yang sangka saya akan memperlahankan aktiviti seni.
“Hakikatnya saya semakin bersemangat merencana kerjaya seni ke tahap lebih baik,” ujarnya yang akan mengeluarkan single terbaharu dengan mempertaruhkan genre berbeza tidak lama lagi.
Aktif streaming, kahwin
Enggan hanya fokus terhadap bidang seni semata-mata, anak bongsu daripada tiga beradik itu juga mengakui turut aktif dalam permainan atas talian (live streaming) yang mula diceburinya sejak dua tahun lalu ketika PKP mula dilaksanakan.
“Pada awalnya saya berjinak-jinak dengan live streaming hanya untuk suka-suka dan sebagai hobi baharu ketika pandemik.
“Tidak sangka pula lama-kelamaan dapat menjana pendapatan, sekali gus membantu mengurangkan beban kewangan saya yang ketika itu tidak mempunyai sebarang tawaran kerja.
“Bermula sebagai hobi, lama-lama saya jadi seronok dan aktif secara sepenuh masa. Teruja dapat kenal ramai orang dan belajar benda baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Fieya berkata, platform itu juga bukan sekadar untuk berhibur dan menjana pendapatan sampingan, malah turut dimanfaatkan dengan sebaik mungkin bagi memperkenalkan diri serta lagu-lagu nyanyiannya.
“Saya melihatnya sebagai satu platform yang baik untuk memperkenalkan diri kepada peminat baharu yang berbeza latar belakang.
“Saya akui ada yang lebih mengenali saya sebagai streamer berbanding penyanyi kerana mereka berkenalan dengan saya dalam alam maya.
“Jadi bila ada peluang, saya juga akan memperkenalkan lagu-lagu saya dengan menghiburkan mereka ketika sesi rehat,” katanya.

Biarpun masih muda tetapi isu perkahwinan tetap hinggap dalam hidup Fieya. Apatah lagi ketika keputusannya berhijab, ramai yang meletakkan tanggapan bahawa dia akan menamatkan zaman bujang.
Penyanyi yang turut popular menerusi lagu Penantian itu menjawab, perkara tersebut bukanlah sebagai satu kepentingan apatah lagi keutamaan baginya buat masa ini.
Pernikahan akan menjadi perkara terakhir yang difikirkan kerana mahu fokus dan kembali aktif dalam dunia seni.
“Siapa yang tak mahu kahwin. Semua orang mahu ada pasangan.
“Nanti-nanti sahajalah kahwin, sebab itu bukan keutamaan buat saya. Apa yang perlu saya kejar sekarang ini adalah karier terlebih dahulu,” katanya menutup bicara.














