fbpx

Mahkamah: 2 ahli politik, aktivis pelajar didakwa anjur perhimpunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. HASBIE (pelitup muka jingga) hadir di Mahkamah Majistret di sini bagi menghadapi pertuduhan berkaitan perhimpunan membantah kenaikan harga barang. FOTO MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI.

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd. Hasbie Muda dan dua yang lain mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan gagal memaklumkan kepada polis sebelum menganjurkan perhimpunan membantah kenaikan harga barang di dua lokasi berbeza ibu negara, bulan lalu.

Selain Mohd. Hasbie, 35, Ketua Angkatan Muda (AMK) PKR Cabang Batu, Muhammad Sabda Suluh Lestari Yahya, 33, dan presiden kesatuan pelajar sebuah universiti awam, Muhammad Aliff Naif Mohd. Fizam, 24, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mohd. Hasbie didakwa gagal memaklumkan kepada polis Daerah Dang Wangi, lima hari sebelum mengadakan perhimpunan di Masjid Jamek, Kampung Baru, Jalan Raja Alang di sini pukul 2 petang, 1 Julai lalu.

Muhammad Sabda pula didakwa melakukan perbuatan sama sebelum mengadakan perhimpunan di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini kira-kira pukul 3.30 petang, 9 Julai lalu.

Muhammad Aliff Naif pula didakwa atas perbuatan tersebut juga di hadapan Kompleks Sogo, kira-kira pukul 2 petang, 23 Julai lalu.

Selaku penganjur perhimpunan, ketiga-tiganya didakwa mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Aris Kamalluddin, Afiq Nazrin Zaharinan, Izalina Abdullah, Muhamad Zuraidi Zulkifli, Nur Aqilah Ishak manakala barisan peguam yang mewakili tertuduh ialah Faiz Fadzil, Bryan Ng Yih Miin dan Asheeq Ali Sethi Alivi.

Kes-kes disebut hari ini di hadapan Majistret-Majisret Wong Chai Sia, S. Mageswary dan Aina Azahra Arifin.

Mohd. Hasbie dan Aliff Naif masing-masing dibenarkan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin manakala Muhammad Sabda sebanyak RM7,000.

Kes terhadap Mohd. Hasbie disebut pada 22 September, Muhammad Sabda pada 28 September manakala Muhammad Aliff Naif pada 21 September ini untuk serahan dokumen.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar Muhammad Aliff Naif dikenakan syarat tambahan iaitu dilarang membuat kenyataan bersifat `sub judice’ di luar mahkamah hingga kes selesai.

Terdahulu, Faiz yang mewakili Mohd. Hasbie memohon pertuduhan terhadap anak guam dibatalkan serta merta atas alasan pertuduhan itu tidak berasas dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun Kamarul Aris berhujah permohonan itu bersifat pramatang pada peringkat ini dan isu yang dibangkitkan perlu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Chai Sia kemudian menolak permohonan itu dan mencadangkan pihak pembelaan mengemukakan permohonan secara rasmi di Mahkamah Tinggi.

Berkaitan pengurangan jaminan, Faiz memohon jaminan RM10,000 yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan dikurangkan kepada RM1,000 atas alasan anak guamnya yang merupakan ahli politik tidak mungkin melarikan diri.

Sebelum itu, Kamarul Aris memohon Mohd. Hasbie dikenakan syarat jaminan tambahan agar tertuduh menyerahkan pasport, melapor diri di balai berdekatan dalam tempoh dua minggu serta dilarang mengeluarkan komen berbentuk `sub judice’.

Bagaimanapun, Chai Sia mempertikai permohonan syarat tambahan kerana kesalahan itu hanya mengenakan hukuman denda, tanpa pemenjaraan.

“Bagaimana kepentingan awam (yang dihujahkan oleh pihak pendakwaan) boleh melangkaui peruntukan undang-undang yang membolehkan syarat tambahan dikenakan,” persoal beliau.

Mahkamah bagaimanapun tidak mengenakan syarat tambahan terhadap Mohd. Hasbie.

Turut hadir dalam prosiding hari ini, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Timbalannya, Datuk Seri Salahuddin Ayub serta Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil.

Media pada 16 Julai lalu melaporkan bahawa pihak polis menasihati orang ramai agar tidak menyertai sebarang aktiviti `flash mob’ atau perhimpunan yang tidak mematuhi syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam satu kenyataan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesan sebaran video di media sosial yang mengajak orang ramai menyertai flash mob di seluruh negara bagi membantah kenaikan harga barang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI