fbpx

Mahkamah: Najib dibenar pinda notis usul dalam rayuan SRC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib (tengah) hadir bagi mendengar rayuan akhir kesnya membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini. /FOTO FARIZ RUSADIO

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak meminda notis usul berhubung keterangan beberapa individu untuk dimasukkan dalam rayuan akhir SRC International Sdn. Bhd.

Antara bukti tambahan itu ialah keterangan lisan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Hussein berhubung siasatan skandal SRC International.

Keterangan itu adalah sama ada beliau (pegawai penyiasat) tersebut menyedari peranan lalu dan pembabitan hakim dalam perbicaraan kes SRC, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Maybank Group.

Selain itu ia berhubung perkhidmatan nasihat strategik yang diberikan Maybank Investment Berhad dan Bina Fikir Sdn Bhd kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi penubuhan SRC pada tahun 2010/2011.

Ia juga berkaitan pemberian pinjaman RM4.7 bilion Maybank kepada 1MDB bagi perolehan Tanjong Energy Berhad pada 2012.

Bukti tambahan lain ialah keterangan lisan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berhubung peranannya ketika menjadi Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB dalam urusan dan pelantikan Maybank Investment Berhad dan Bina Fikir Sdn Bhd serta pegawainya berkaitan perkhidmatan nasihat strategik dalam penubuhan SRC International pada tahun 2010/2011.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan berkata, pada peringkat ini mahkamah belum membuat keputusan berhubung merit permohonan itu.

Sehubungan itu, Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Najib  mengemukakan hujahan permohonan notis usul berkenaan sebelum Mahkamah Persekutuan memberi keputusan.

Selain Tengku Maimun, panel lain turut bersidang adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk P. Nallini, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Najib selaku pemohon diwakili peguam-peguam lain iaitu Datuk Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat, Rueben Mathiaravanam dan Hannah Kam Zhen Yi.

Sementara pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan-timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram, Donald Joseph Franklin, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul dan Manjira Vasudeva. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI