fbpx

Calon giliran 2020, 2021, 2022 diberi keutamaan kuota haji 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kumpulan terakhir jemaah haji seramai 284 orang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pukul 1.30 tengah hari tadi.

SEPANG – Lembaga Tahun Haji akan memberi keutamaan kepada calon bakal jemaah yang giliran sepatutnya pada 2020, 2021 dan 2022 untuk mengisi kuota pada musim haji 2023.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya amat memahami keluhan ramai calon terbabit yang gagal ditawarkan kuota haji untuk musim 2022.

“Ini termasuk mereka berumur 65 tahun ke atas apabila tidak dapat pergi sebab syarat baharu ditetapkan kerajaan Arab Saudi melarang bakal jemaah usia itu,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau menyambut kepulangan kumpulan terakhir jemaah haji seramai 284 orang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini yang tiba pada pukul 1.30 tengah hari.

Syed Saleh berkata, kuota asal untuk Malaysia sepatutnya 31,600 orang, namun disebabkan kebimbangan penularan pandemik Covid-19, jumlah itu telah pun dikurangkan kepada separuh.

“Sebenarnya pengisian kuota tertakluk kepada kriteria dikenakan oleh Arab Saudi yang boleh berubah setiap tahun dan kita berharap syarat baharu tahun depan akan lebih baik,” jelasnya.

Situasi tersebut bermakna ada baki 17,294 orang yang giliran mereka pada 2020 lalu selain calon untuk giliran 2021 dan 2022 turut tidak ditawarkan haji bagi musim kali ini.

Bagaimanapun, keadaan semasa masih lagi terpulang pada budi bicara kerajaan negara itu dan beliau tidak menolak kemungkinan ada kuota tambahan pada musim 1444 Hijrah/2023 Masihi.

Senario itu, susulan perkembangan terkini yang menyaksikan projek perluasan Masjidil Haram di Mekah sudah hampir siap sepenuhnya bagi menampung lebih ramai kapasiti jemaah.

Begitu juga pembukaan terminal baharu Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah baru-baru ini yang telah membolehkan pertambahan jumlah penumpang lebih tinggi.

“Insya-Allah, mungkin ada hikmah di sebaliknya yang menyebabkan tidak dipanggil ke tanah suci dan pihak kerajaan juga berusaha memohon kuota rasmi Malaysia dinaikkan,” katanya.

Ketika ini, pendeposit Tabung Haji yang mendaftarkan ibadah tersebut akan menerima giliran untuk tempoh 115 tahun akan datang susulan kekangan kuota yang ditetapkan Arab Saudi.

Keadaan itu menyebabkan ada bakal jemaah yang terdesak kerana faktor usia lanjut, sanggup memohon visa haji furada dengan ada menjadi mangsa penipuan oleh agensi tertentu.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

RSS Error: A feed could not be found at `https://www.relevan.com.my/feed`. This does not appear to be a valid RSS or Atom feed.