fbpx

Tubuh jawatankuasa selaraskan isu sektor perlombongan mineral

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSLI (tiga dari kiri) melawat ruang pameran selepas merasmikan NR-REE di Hotel Everly, Putrajaya, hari ini./ FOTO FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kementerian Tanah dan Sumber Asli (KeTSA) bakal menubuhkan sebuah jawatankuasa induk peringkat pusat bagi menyelaraskan segala isu berkaitan sektor perlombongan mineral.

Ketua Setiausahanya, Datuk Rosli Isa berkata, langkah tersebut juga untuk mengelak usaha manipulasi pihak broker yang cuba mengambil kesempatan dalam industri berkenaan.

“Kita tidak mahu ada unsur broker atau orang tengah tetapi biarlah sektor ini disertai pemain tulen dalam usaha kementerian bergerak ke arah berdaya saing,” katanya kepada pemberita selepas mewakili menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan merasmikan Simposium Mineral Ke-10 Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Hotel Everly, di sini hari ini.

Berdasarkan laporan perangkaan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, ketika ini terdapat sejumlah 102 lombong di seluruh negara dengan lebih 4,000 orang pekerja yang direkodkan.

Majoriti industri itu meliputi bijih besi sebanyak 60 buah manakala selebihnya iaitu 12 lombong emas, 14 buah mineral kaolin serta masing-masing lapan untuk galian bauksit dan batu arang

Mengulas lebih lanjut, Rosli berkata, kajian terperinci mengenai isu perlombongan sudah pun bermula pada 2014 lalu namun belum membabitkan NR-REE yang dianggap sumber baharu.

“Saya telah pun bercakap sendiri dengan menteri semalam dan kementerian perlu bertindak segera mewujudkan jawatankuasa induk di peringkat kebangsaan bagi isu sebegini,” katanya.

Pembentukan organisasi berstruktur itu ujar beliau lagi, akan melibatkan pelbagai agensi dan kesemua setiausaha kerajaan negeri selain ditubuhkan juga sebuah jawatankuasa teknikal.

Keperluan tersebut amat penting kerana pada ketika ini segala urusan yang berkaitan dengan isu perlombongan termasuk NR-REE agak janggal apabila tiada punca kuasa untuk bertindak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI