fbpx
Graduan perlu menimba banyak pengalaman kerja agar menjadi pilihan ramai majikan. – GAMBAR HIASAN

Majikan tak pandang ijazah, cari pekerja ada pengalaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pengalaman kerja minimum tiga tahun dalam bidang diceburi menjadi kriteria utama sebahagian besar syarikat di negara ini untuk mengupah pekerja berbanding mengambil graduan baharu yang sekadar memiliki diploma atau ijazah.

Kebanyakan majikan tidak kisah untuk membayar gaji yang lebih tinggi kepada mereka yang berpengalaman luas, asalkan tidak membuang masa melatih pekerja baharu dalam melakukan bidang tugas ditetapkan.

Pengurus sebuah syarikat perniagaan e-dagang, Kelvin Chong, 38, berkata, ketika sesi temu duga pemilihan calon pekerja, perkara pertama akan disoal adalah me­ngenai kemahiran dan pengalaman yang dimiliki pemohon.

“Rugi masa dan tenaga jika perlu latih dan ajar pekerja baharu dari peringkat awal jika mereka tiada pengalaman dan kemahiran dalam bidang kerja yang dimohon.

Berita berkaitan: ‘Kita akan jadi kuli selamanya jika malas belajar’

“Syarikat perlukan pekerja mahir dan mudah mengendalikan sesuatu tugas dengan cekap bermula hari pertama mereka melapor diri untuk bekerja,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Kelvin memberitahu, selain itu, dari segi personaliti, syarikat juga akan menilai sama ada kecantikan luarannya mampu menyumbang kepada kemajuan syarikat.

“Sebagai sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan e-dagang, kami lebih tertumpu kepada promosi di media sosial.

“Dalam mendapatkan perhatian pengguna, kami akan memperkenalkan produk kami secara langsung di media sosial dan menjadi keperluan untuk miliki pekerja yang ada personaliti yang disukai ramai agar mudah ‘memancing’ pengguna,” ujarnya.

Di Shah Alam, seorang pemilik syarikat percetakan yang dikenali sebagai Kelvin, 40, berkata, pekerja perlu faham banyak industri sedang bergelut dengan keadaan ekonomi semasa dan mereka tidak mahu mengambil pekerja yang langsung tiada pe­ngalaman.

Katanya, produktiviti menjadi fokus utama yang mampu menjamin keuntungan dalam menampung kos operasi yang makin meningkat sekarang.

Berita berkaitan: Sukar lahirkan masyarakat berpendapatan tinggi jika guna sijil SPM

“Ada calon pekerja yang datang temu duga mahu gaji sehingga RM4,000 sebulan hanya kerana dia miliki ijazah, namun malangnya tiada pengalaman kerja.

“Jika diambil, mereka perlu dilatih di antara tiga hingga enam bulan dan itu juga memerlukan kos. Itu pun tidak ramai boleh bawa prospek pelanggan kepada kami,” katanya.

Gambar hiasan

Kelvin berkata, secara puratanya gaji yang mampu ditawarkan adalah RM1,500 bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), lepasan ijazah sarjana muda (RM2,500) dan lepasan ijazah sarjana muda dengan pengalaman sekurang-kurangnya tiga tahun adalah RM3,000.

“Jadi, saya pilih pekerja tidak melihat kelayakan mereka, sebaliknya pengalaman yang boleh menyelesaikan segala permasalahan kerja,” katanya.

Di George Town, seorang pengurus sebuah syarikat perkhid­matan pencucian dan pembersihan, Hussein Abdullah, 34, berkata, dia juga lebih mengutamakan tempoh pengalaman yang dimiliki seseorang individu dengan minimum kerja tiga hingga enam tahun.

Katanya, skop pemilihan pekerja baharu kini bukan lagi bergantung kepada kelayakan pendidikan kerana graduan baharu kebanyakan masih kurang kemahiran.

“Memang fikir banyak kali sekiranya hendak ambil pekerja yang tiada pengalaman terutama lepasan diploma dan ijazah kerana kebanyakannya akan demand gaji tinggi, tetapi hasilnya tidak setimpal,” ujarnya.

Kosmo! kelmarin melaporkan, ramai pelajar lepasan SPM tidak berminat menyambung pengajian atas pelbagai faktor termasuk tempoh masa yang terlalu lama selain keinginan untuk bekerja awal bagi membantu keluarga.

Kata mereka, ia ibarat buang masa dan membazirkan wang kerana selepas memiliki diploma atau ijazah sarjana muda belum tentu mereka akan dapat kerja.

Kalau dapat kerja sekali pun tiada jaminan akan dapat gaji lumayan, sekali gus menyebabkan mereka lebih selesa bekerja selepas tamat persekolahan.

Bagaimanapun, golongan akademik melahirkan kebimbangan kerana situasi berkenaan boleh meletakkan rakyat negara ini sebagai golongan kelas ketiga sehingga menyebabkan mereka ‘mengemis’ di negara sendiri.

Naib Canselor Universiti Antarabangsa Unitar, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar dilaporkan berkata, tanpa pendidikan tinggi, banyak sektor penting di negara ini akan dikuasai orang luar sehingga rakyat tempatan akhirnya hanya berbangga dengan status kuli.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN