fbpx
GENERASI muda perlu menguasai pendidikan tinggi atau sektor penting di negara ini dikuasai pekerja asing. – GAMBAR HIASAN

‘Kita akan jadi kuli selamanya jika malas belajar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pendedahan Jabatan Perangkaan baru-baru ini yang merumuskan lebih 390,000 atau 72.1 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak menyambung pelajaran selepas tamat tingkatan lima perlu dipandang serius kerana bakal memberi kesan buruk terutama kepada pembangunan negara pada masa akan datang.

Situasi berkenaan boleh meletakkan rakyat negara ini sebagai golongan kelas ketiga sehingga menyebabkan mereka ‘mengemis’ di negara sendiri.

Naib Canselor Universiti Antarabangsa Unitar (Unitar), Prof. Eme­ritus Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, tanpa pendidikan tinggi, banyak sektor penting di negara ini akan dikuasai orang luar sehingga rakyat tempatan akhirnya hanya berbangga de­ngan status kuli.

Katanya senario itu akan menyebabkan golongan Melayu semakin kurang menceburi bidang-bidang pen­ting seperti akauntan, jurutera, peguam dan doktor.

“Jika isu ini berterusan, saya yakin dalam tempoh beberapa tahun akan datang, kekosongan jawatan penting terutama di sektor kerajaan tidak dapat isi kerana ramai yang kurang kelulusan.

“Akhirnya, kita akan menjadi bangsa kelas ketiga di bumi sendiri kerana ketandusan pelapis,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sahol Hamid

Mengulas lanjut, Sahol Hamid yang juga bekas Naib Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, kekurangan pendidikan juga boleh menjadi punca berlakunya keruntuhan akhlak dan mening­katkan masalah sosial serta jenayah di sesebuah negara.

“Apabila tidak mempunyai pendidikan tinggi, maka pendapatan mereka juga berkurangan dan akan ada segelintir yang mencari jalan mudah untuk mendapatkan duit.

“Sebagai contoh, mereka akan melakukan kerja-kerja yang me­nyalahi undang-undang seperti mencuri dan merompak, sekali gus menyebabkan negara akan hancur apabila masalah sosial ini meningkat,” ujarnya.

Tambah Sahol Hamid, mengambil contoh pendidikan di negara luar seperti di Jerman, semua pelajar di negara itu diwajibkan mengambil program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Itu adalah undang-undang negara mereka dan beberapa negara di Eropah turut mempraktikkan konsep tersebut.

“Dengan cara ini, tidak akan ada yang tercicir dan pelajar akan berada dalam sistem pendidikan tinggi sehingga mereka semua mempunyai sekurang-kurangnya diploma atau ijazah,” jelas Sahol Hamid.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Kepimpinan dan Polisi Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jamalul Lail Abdul Wahab berkata, tidak salah untuk seseorang pelajar menceburkan diri dalam pekerjaan selepas tamat sekolah.

Namun katanya, pelajar ber­kenaan perlu memikirkan juga mengenai peluang lain termasuk meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Kita memerlukan pelapis profesional bagi mengisi jawatan penting pada masa hadapan dan untuk menjadi pelapis, mereka perlu ada kemahiran, ilmu dan pendidikan yang tinggi.

“Sanggupkah kita lihat bangsa lain menjadi ‘bos’ dan kita jadi ‘kuli’ selamanya, takkan kita nak jadi melukut di tepian gantang di negara sendiri?

“Sekarang pun kita lihat ba­nyak jawatan penting di syarikat besar diisi oleh orang luar se­perti yang berlaku dalam syarikat pe­nerbangan kita sebelum ini. Jadi sampai bila kita hendak lihat fenomena ini berlaku dalam negara kita,” soalnya.

Jamalul Lail

Tambah Jamalul Lail, tidak salah untuk lepasan sekolah menceburkan diri dalam ekonomi gig, tetapi janganlah jadikan sebagai kerjaya tetap.

“Sambil belajar boleh sahaja bawa kereta sewa atau jadi rider, tetapi yang penting sambung belajar ke peringkat lebih tinggi kerana negara kita kini menuju ke arah negara maju dan industri. Kita perlu pelapis yang boleh mengisi jawatan penting pada masa hadapan,” jelasnya.

Terdahulu, Kosmo! semalam melaporkan, ramai pelajar le­pasan SPM tidak berminat me­nyambung pengajian disebabkan pelbagai faktor termasuk tempoh masa yang terlalu lama selain keinginan untuk bekerja awal bagi membantu keluarga.

Berita berkaitan: Sukar lahirkan masyarakat berpendapatan tinggi jika guna sijil SPM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN