PETALING JAYA – Negara bakal berdepan dengan cabaran dalam melahirkan masyarakat berilmu dan bekemahiran tinggi ekoran ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih untuk tidak menyambung pengajian ke peringkat diploma atau ijazah sama ada dalam bidang profesional mahupun kemahiran.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, situasi tersebut, sekali gus akan mempengaruhi usaha kerajaan dalam membentuk masyarakat berpendapatan tinggi.
“Struktur pekerjaan di Malaysia secara majoritinya pihak majikan menginginkan setiap pemohon yang hadir bagi mengisi kekosongan kerja di syarikat mereka mempunyai sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda bagi memastikan kualiti pekerja yang diambil.
“Jadi bila ramai pelajar yang tidak memohon untuk sambung pengajian mereka, saya bimbang pasaran kerja di negara ini tidak dapat berkembang dengan baik dan ia akan menyebabkan usaha kita untuk menghasilkan masyarakat berpendapatan tinggi itu akan terjejas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sehubungan itu, Anuar membahagikan pelajar lepasan SPM kepada beberapa kategori yang mempengaruhi mereka untuk tidak menyambung pelajaran ke peringkat diploma dan ijazah.
Katanya, mereka ini terdiri daripada kategori yang memperoleh keputusan rendah atau gagal dalam SPM dan menyukarkan pelajar tersebut untuk diterima masuk oleh mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT).
“Bagaimanapun, lebih membimbangkan negara ketika ini adalah mereka yang tergolong dalam kategori pertengahan iaitu kumpulan yang kurang pasti atau tidak bersedia untuk melanjutkan pelajaran atas beberapa faktor.
“Yang pertama, adalah mereka yang merasakan sambung belajar itu adalah perkara sukar kerana dengan keputusan sederhana dalam SPM, ia memberi ketakutan untuk mereka belajar di peringkat lebih tinggi dan mengambil keputusan untuk terus bekerja.
“Yang kedua adalah mereka yang berlatarkan keluarga miskin, dengan keputusan sederhana, mereka tidak mungkin ditawarkan biasiswa untuk sambung belajar dan mereka melihat dunia pekerjaan adalah pilihan terbaik untuk mereka membantu pendapatan keluarga,” jelasnya.
















