fbpx

Penjaga stor ditahan disyaki ganggu kuliah subuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

AMPANG – Seorang penjaga stor ditahan semalam kerana dipercayai mengganggu sesi kuliah subuh dalam kejadian di Surau Baitul Ehsan, di sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pengerusi surau terbabit telah membuat laporan berhubung kejadian yang berlaku pada pukul 7.06 pagi itu.

“Semasa ceramah sedang berlangsung, seorang lelaki tempatan tidak dikenali bertindak menuju ke arah penceramah sebelum menarik mikrofon dan menjerit mendakwa kuliah itu terlalu bising dan mengganggunya.

“Tindakan lelaki tersebut tidak beradab dan telah mengganggu tempat ibadah dan jemaah surau yang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Farouk, jemaah surau telah bertindak menghalang suspek dan meminta lelaki itu meninggalkan surau dengan cara baik.

“Susulan itu, polis telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun di jalan Ikan Emas Mesra, Ampang pada pukul 7 malam tadi.

“Suspek juga mempunyai dua rekod kesalahan dadah dan ugutan jenayah,” ujarnya.

Tambahnya, suspek telah direman selama empat hari sehingga 12 Ogos ini di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1956. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI