fbpx

Kerugian jenayah komersial meningkat 25 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DATUK Seri Ramli Mohamed Yoosuf (kanan) menunjukkan statistik sasaran tangkapan dan kejayaan tangkapan dalam Op MULE Khas PJSJK yang dilancarkan bermula 1 Januari sehingga 31 Julai lalu di IPK Pahang di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Jumlah kerugian akibat jenayah komersial di negeri ini meningkat sebanyak 25.6 peratus kepada kira-kira RM31 juta dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini berbanding kira-kira RM25 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, daripada jumlah kerugian sebanyak 588 kertas siasatan telah dibuka dengan kadar pertuduhan sebanyak 48.9 peratus.

Katanya, daripada 11 daerah di negeri ini, Kuantan merupakan penyumbang utama dalam pertuduhan tersebut iaitu sebanyak 235 kertas siasatan daripada 609 kertas siasatan telah dituduh.

“Kadar pertuduhan sebanyak 48.9 peratus adalah satu perkembangan yang baik dan dalam masa sama pelbagai usaha telah dilakukan sebagai langkah pencegahan termasuk penganjuran 108 aktiviti seperti ceramah, syarahan dan pameran melibatkan kehadiran 16,126 orang.

“Terdapat juga aktiviti pencegahan melalui siaran media yang dijalankan tahun ini yang mana aktiviti pencegahan ini akan sentiasa dibuat dari semasa ke semasa untuk memberi kesedaran kepada orang awam terhadap trend jenayah komersial terkini,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.

Menurut Ramli, selain itu Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang juga melakukan penguatkuasaan bagi membanteras jenayah komersial secara dalam talian termasuk Op MULE Khas yang diadakan bermula 1 Januari sehingga 31 Julai lalu.

Jelasnya dalam op berkenaan JSJK pahang melepasi sasaran ditetapkan apabila melakukan 154 tangkapan berbanding sasaran 150 tangkapan.

“Daripada 154 tangkapan, 107 merupakan lelaki berusia 21 tahun hingga 64 tahun dan wanita seramai 47 orang berusia antara 22 tahun sehingga 61 tahun yang mana mereka terdiri daripada golongan penganggur, pekerja swasta dan peniaga yang didapati telah memberi, meminjam dan menjual akaun kepada pihak ketiga,”katanya.

Sementara itu Ramli memberitahu pada masa ini polis mengenalpasti modus operandi terbaru bagi memperdayakan mangsa dengan menawarkan perkhidmatan pembantu rumah melalui laman sosial Facebook.

Katanya, meskipun tiada laporan kes ini di Pahang setakat ini pihak polis sentiasa melakukan pemantauan dan orang ramai diminta berhati-hati dengan pelbagai taktik yang digunakan dalam aktiviti jenayah komersial ini. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI