fbpx
Langit Gaza dihujani bedilan daripada Israel. - AFP

Gaza lumpuh dibedil tentera Israel, puluhan terbunuh termasuk kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR GAZA  – Angka korban akibat keganasan yang makin meruncing di Semenanjung Gaza meningkat kepada 24 orang semalam termasuk kanak-kanak.

Perkembangan itu berlaku ketika Israel melanjutkan operasi mengebom pejuang Palestin yang bertindak balas dengan melancarkan bedilan roket.

Angka dikemas kini  pihak berkuasa kesihatan di Gaza menyatakan bahawa enam kanak-kanak antara yang terbunuh sejak kekejaman Israel bermula Jumaat lalu, manakala 204 orang pula cedera.

Bagaimanapun, Rejim Zionis menuduh kononnya bedilan roket kumpulan Jihad Islam yang tersasar mengakibatkan sebilangan kanak-kanak mati di Jabalia, utara Gaza kelmarin.

Masih belum jelas bilangan kanak-kanak yang terbunuh dalam insiden di Jabalia itu. Seorang jurugambar agensi berita AFP melihat enam mayat di sebuah hospital tempatan, termasuk tiga mangsa bawah umur.

Tentera Israel memberi amaran kempen serangan udara dan bedilan artileri terhadap Jihad Islam mungkin berlanjutan selama seminggu tetapi Presiden Mesir, Abdul Fattah al-Sisi berkata, Kaherah berunding 24 jam  untuk kedua-dua belah pihak menamatkan keganasan.  

Di Israel, penduduk awam  berlindung di pusat-pusat perlindungan serangan udara dengan wartawan AFP mendengar siren amaran bedilan roket berbunyi di sekitar Tel Aviv petang kelmarin. 

Di Rafah yang terletak di sempadan Gaza dan Mesir, wanita dan kanak-kanak Palestin terperangkap di bawah runtuhan susulan serangan udara Rejim Zionis, kata unit pertahanan awam Semenanjung Gaza.

Pekerja-pekerja penyelamat menggali di sebuah tapak di mana komander kanan Jihad Islam, Khaled Mansour dilaporkan menjadi sasaran serangan Israel kelmarin.

Belum ada pengesahan rasmi mengenai kematian Khaled tetapi ketua direktorat operasi tentera Rejim Zionis, Oded Basiok berkata dalam satu kenyataan bahawa semua pemimpin kanan sayap tentera Jihad Islam telah dihapuskan.

Dalam perkembangan berkaitan, kehidupan harian di Semenanjung Gaza lumpuh, manakala  pengendali tenaga elektrik tempatan memberitahu, satu-satunya loji janakuasa di wilayah ditadbir rangkaian Hamas itu ditutup akibat kekurangan bahan api selepas Israel menutup lintasan sempadannya.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, masa beberapa jam akan datang akan adalah ‘penting dan sukar’ kerana pihaknya terpaksa menggantung perkhidmatan kecemasan sekiranya bekalan elektrik belum pulih selepas 72 jam. 

Kumpulan Jihad Islam bersekutu dengan Hamas tetapi kerap bertindak bersendirian. Kedua-duanya disenarai hitam sebagai organisasi pengganas oleh Barat.

Hamas berperang sebanyak empat kali dengan Israel sejak kumpulan itu menguasai Gaza dalam tahun 2007 termasuk perang pada Mei lalu

Sementara itu, ketua kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di wilayah Palestin,  Lynn Hastings menggesa pihak yang bertelagah supaya  membenarkan bahan api, makanan dan bekalan perubatan dihantar ke Gaza di sebalik krisis semasa yang semakin buruk. 

Siri serangan ke atas Gaza itu menyusul penangkapan dua anggota kanan Jihad Islam di Tebing Barat termasuk Bassem al-Saadi yang dituduh Rejim Zionis sebagai dalang serangan ke atas penduduk Yahudi baru-baru ini. – AFP

POPULAR