fbpx

Kerjasama pihak luar mampu cungkil prestasi sukan murid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radzi

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) mahu semua sekolah bekerjasama dengan pihak luar dalam usaha mencungkil lebih banyak bakat sukan dalam kalangan murid.

Menterinya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kerjasama itu juga perlu melibatkan persatuan atau kelab sukan di kawasan masing-masing seiring hasrat kementeriannya yang sentiasa ingin memastikan potensi dalam kalangan murid termasuk dalam bidang sukan, dapat dioptimumkan sebaik mungkin.

Beliau berkata, ia termasuk bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengasuh bakat dalam sukan bola sepak melalui My Little League yang dilancarkan 19 Julai lalu serta pencarian bakat dalam sepak takraw tidak lama lagi.

Katanya, banyak kerjasama dengan pelbagai pihak luar dilakukan bagi memastikan bukan saja bakat baharu dapat dicungkil tetapi memberi keyakinan kepada anak-anak di sekolah.

“Selain itu, pencarian bakat pemain sepak takraw diadakan bagi mencari bakat murid berikutan suatu masa dulu Malaysia pernah menjadi kuasa besar sepak takraw di dunia.

“Dalam konteks bola tampar pula, Malaysia berada pada kedudukan lima dan enam dalam kalangan negara Asia Tenggara,” katanya selepas merasmikan penutup Kejohanan Bola Tampar Amatur Putrajaya di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 16(1), di sini, hari ini.

Radzi berkata, penglibatan badan korporat dan swasta amat dialu-alukan dalam bidang pembangunan akademik dan kokurikulum termasuk membabitkan penyelenggaraan kemudahan sukan di sekolah.

Katanya, melalui penubuhan Yayasan Didik Negara, ia akan membantu KPM untuk bekerjasama dengan pihak korporat dan swasta.

“Buat masa ini, keutamaan peruntukan kementerian adalah memastikan kemudahan sekolah sukan iaitu program yang lebih rasmi, sama ada di peringkat kebangsaan mahupun negeri manakala program sukan di daerah terus dipertingkatkan.

“Kami di kementerian tidak mampu melakukannya bersendirian maka tumpuan kita adalah untuk melihat ‘niche’ area dan kekuatan masing-masing untuk kita salurkan peruntukan,’ katanya.

Beliau berkata, apabila semua pihak tampil, setiap sen yang diberikan dapat dioptimumkan potensinya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI