fbpx

Pas ada pelan B jika tiada kerjasama dengan UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Fadhli Shaari ketika Majlis Perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas Negeri Pulau Pinang di Pusat Pengajian Darul Hadis, Tasek Gelugor di sini hari ini.

SEBERANG PERAI – Pas sentiasa mempunyai alternatif sekiranya UMNO masih lagi tidak berminat untuk menjalin apa-apa hubungan atau persefahaman dengan parti itu khususnya melalui Muafakat Nasional (MN).

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, walaupun Pas dilihat masih lagi berusaha untuk menjalin persefahaman dan perundingan dengan UMNO ketika ini, namun katanya, parti itu tetap bersedia untuk berhadapan dengan sebarang situasi terburuk atau ‘worst case scenario’ jika tiada sebarang perundingan berlaku.

Pada masa ini katanya, isyarat daripada ucapan terkini Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan permuafakatan itu hanya boleh dilakukan selepas PRU-15 jelas menunjukkan bahawa tidak akan ada sebarang kerjasama akan dibentuk antara kedua-dua pihak.

“Tapi, jika ada (kerjasama), itu lebih baik kerana akan memberi lebih tekanan kepada PH (Pakatan Harapan). Bagaimanapun, jika tidak ada apa-apa persetujuan pun kita tidak ada masalah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

“Insya-Allah, kita yakin rakyat akan terus memberikan sokongan kepada Pas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa Majlis Perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas Negeri Pulau Pinang di Pusat Pengajian Darul Hadis, Tasek Gelugor di sini hari ini.

Hadir sama ialah Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Fauzi Yusoff selain beberapa pemimpin daripada parti komponen Perikanan Nasional (PN) iaitu Bersatu dan Gerakan negeri.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, tarikh pembubaran Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan bergantung kepada keadaan politik semasa dalam UMNO ketika ini. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI