PETALING JAYA – Malang menimpa sebahagian graduan apabila bukan sahaja kerugian wang dan tenaga, malah pengajian yang diambil selama bertahun-tahun menjadi sia-sia selepas sijil yang diterima daripada kolej atau universiti didapati tidak diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Rata-rata mendakwa, mereka hanya menyedari menjadi graduan ‘tak laku’ ketika hadir pada sesi temu duga mencari kerja apabila panel penilai menyatakan sijil yang dikemukakan tidak sah.
Mereka merupakan sebahagian daripada 4.1 peratus siswazah menganggur berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2021.
Seorang graduan, Muhammad Arif Mohd. Nor, 24, berkata, dia kesal dengan apa yang berlaku selepas melaburkan sebanyak RM28,900 menggunakan wang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional untuk belajar di sebuah kolej swasta.
“Saya juga rugi masa apabila pengajian selama tiga tahun bermula 2016 dalam jurusan kejuruteraan teknikal menjadi sia-sia apabila menerima sijil yang tidak diiktiraf MQA.
“Sudah tiga tahun saya gagal mendapat kerja selari dengan kelulusan. Sudahlah yuran mahal, fasiliti kolej juga kurang terutama melibatkan bahan bacaan rujukan yang terpaksa dibeli pada harga mahal di luar,” katanya yang menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.65.

Menurut Muhammad Arif, dia menyesal kerana terburu-buru membuat keputusan menyambung pengajian tanpa membuat penyelidikan latar belakang kolej tersebut dengan MQA.
Tambahnya, dia kini bekerja di sebuah kedai serbaneka dan hanya menerima gaji mengikut kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Bukan saya seorang tetapi kebanyakan rakan-rakan turut mengalami situasi sukar mendapat kerja dalam bidang masing-masing dan satu hal pula perlu belajar lagi dan kerja sampingan dengan gaji SPM,” katanya.
Pelajar tahun akhir jurusan pengurusan pejabat, Nur Fatini Zamhari, 25, berkata, dia hanya menyedari sijil yang diperoleh daripada sebuah kolej tidak diiktiraf MQA ketika menghadiri temu duga.
“Diploma yang saya dapat pada tahun 2017 tidak laku. Bukan mudah untuk saya mahu belajar semula di universiti awam yang sudah tentu mengulang apa yang dilakukan sebelum ini dan kerugian masa, tenaga dan wang,” katanya.
Ujar Nur Fatini, dia bersama rakan-rakannya ada menghubungi pihak kolej untuk mendapatkan penjelasan dan dimaklumkan bahawa ada pensyarah tidak mempunyai kelayakan untuk mengajar hingga MQA tidak mengiktiraf diploma mereka.
Seorang lagi graduan, Mohammad Syafiq Kassim, 25, memberitahu yang dia dalam proses menuntut ganti rugi daripada sebuah kolej swasta di ibu negara selepas Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer yang dimilikinya pada Mei tahun lalu dengan CGPA 2.15 tidak diiktiraf.
“Saya mengalami tekanan emosi dan mental kerana rugi RM30,000 serta malu berdepan dengan rakan-rakan apabila mereka sudah menggenggam ijazah dan mendapat kerja.
“Menyesal saya terlalu gelojoh untuk sambung belajar di kolej itu walaupun dimaklumkan ia baru sahaja beroperasi pada Januari 2018,” katanya.
Tambahnya, permohonan masuk ke universiti awam tidak diterima kerana keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia diperoleh agak teruk.














