fbpx

Bukan mustahil catat larian bawah 10 saat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Azeem Fahmi
SHAZWAN YUSOP, WARTAWAN EKSEKUTIF

KEJAYAAN sensasi pelari muda negara, Muhammad Azeem Fahmi memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100 meter (m) di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia ­baru-baru ini telah membuka mata banyak pihak.

Pelari berusia 18 tahun itu berjaya mempamerkan larian luar biasa apabila mencatatkan masa 10.09 saat (s) serta mengejutkan atlet dari Jepun, Hiroki Yanagita di tempat kedua dengan masa 10.24s.

Catatan direkodkan Muhammad Azeem itu menyaksikan dia berjaya memperbaharui rekod kebangsaan yang sebelum ini dipegang oleh Khairul Hafiz Jantan dengan catatan 10.18s ketika saingan Sukan Malaysia 2016 di Sarawak.

Kejayaan remaja berasal dari Ipoh, Perak itu memberi petanda jelas bahawa tidak mustahil satu hari nanti ada pelari tempatan mampu mencatatkan masa di bawah 10s dalam acara 100m.

Menurut legenda lari pecut negara, Tan Sri M. Jegathesan, Muhammad Azeem mempunyai masa depan yang sangat gemilang dalam acara lari pecut sekiranya dibentuk dengan baik.

Pemenang pingat emas 100m pada Sukan Asia di Jakarta, Indonesia pada 1962 itu menambah, Muhammad Azeem masih muda serta mempunyai banyak lagi masa untuk meningkatkan pres­tasi serta memperbaiki teknik lariannya.

“Saya sangat gembira apabila tahu rekod 100 meter negara te­lah dipecahkan sekali lagi selepas beberapa tahun. Lagi teruja apabila saya tahu dia masih muda dan baharu berusia 18 tahun.

“Saya rasa dia mampu berlari sekurang-kurangnya 10 tahun lagi untuk negara. Saya juga yakin dia boleh memperbaharui semula rekod 10.09s itu dalam beberapa kejohanan akan datang,” ujarnya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Pada masa sama, Jegathesan turut menyatakan kebimbangan sekiranya karier Muhammad Azeem tenggelam seperti pelari pecut muda lain sebelum ini iaitu Khairul Hafiz dan Badrul Hisyam Abdul Manap.

Jelasnya, Kesatuan Olahraga Malaysia perlu mempunyai satu perancangan khusus bagi memastikan prestasi pelari-pelari pecut muda terus berkembang seiring kematangan usia mereka.

“Saya risau juga kalau prestasi Muhammad Azeem senasib jaguh pecut lain yang pernah kita lahirkan sebelum ini. Saya tidak tahu apa yang menyebabkan pres­tasi mereka ini merudum dan terus senyap.

“Kalau cedera sekali pun, saya rasa prestasi mereka masih boleh dikembalikan seperti biasa dengan bantuan pelbagai kemudahan canggih dan tenaga pakar di Majlis Sukan Negara,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Dr. Shaharudin Abdul Aziz berkata, catatan masa direkodkan Muhammad Azeem cukup luar biasa.

Katanya, Muhammad Azeem harus mengingat dan mencatat kembali setiap perkara yang dilaluinya sepanjang 24 jam sebelum dia mampu memecahkan rekod tersebut untuk dijadikan panduan­ pada masa depan.

“Kalau pelari-pelari hebat di luar negara, mereka ada rutin tertentu bagi memastikan prestasi sentiasa konsisten. Mereka ini selalu tulis diari sebagai rujukan.

“Saya fikir, perkara ini perlu dipraktikkan oleh Muhammad Azeem. Dia perlu tahu apa yang dimakan dan minum serta perkara bermain dalam mindanya sebelum memulakan larian,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI