KENTUT adalah sesuatu yang semula jadi dan semua orang mengalaminya.
Kebanyakan orang di dunia akan kentut antara lima hingga 23 kali dalam sehari.
Bagaimanapun, sesetengah orang mungkin berasa malu atau tidak selesa jika mereka kentut lebih kerap atau terpaksa ‘melepaskannya’ di khalayak ramai.
Oleh itu, menahan kentut sehingga mereka berasa cukup selamat untuk melepaskannya adalah penyelesaian terbaik.
Walaupun penyelidikan tentang kentut adalah terhad, beberapa kajian menunjukkan, menahannya mungkin tidak baik untuk kesihatan dan lebih sihat untuk ‘melepaskannya’.
Berdasarkan satu laporan yang disiarkan di Healthline, apabila anda kentut, gas bergerak dari usus ke rektum dan kemudian keluar melalui dubur.
Tetapi kentut boleh dikawal dengan mengetatkan otot sfinkter dubur.
Selepas mengetatkan otot itu, tekanan akan mula terkumpul dalam sistem pencernaan.
Kesannya mungkin menyebabkan beberapa gejala jangka pendek apabila menahan kentut termasuk rasa sakit di perut, kembung perut dan ketidakselesaan serta gangguan pencernaan.
Penyelidik turut mendapati, sebahagian daripada gas ini diserap semula oleh sistem darah badan dan akhirnya boleh dikeluarkan apabila menghembus nafas.
Bagaimanapun, kebanyakan gas akan kekal di bawah tekanan dalam badan sehingga ia akhirnya dilepaskan melalui kentut atau sendawa.














