fbpx

Tempat sunyi jadi markas operasi punggah rokok putih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamarul Zaman (tengah) menunjukkan rokok tidak bercukai yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, hari ini.

KLUANG – Sebanyak 800,000 batang rokok putih bernilai RM968,000 termasuk cukai berjaya dirampas oleh Pasukan Batalion Lima Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam hasil serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di Paloh di sini pada 25 Julai lalu.

Dalam serbuan pada pukul 12 tengah hari itu, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun berjaya ditahan di tepi jalan di Jalan Kluang – Paloh di sini disyaki pemilik kepada barang seludup terbabit.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya turut menyita tiga buah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang diletakkan di tepi jalan kawasan terpencil.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit mendapati 80 bungkusan berwarna coklat ditemui setiap kenderaan disyaki rokok tidak bercukai.

“Pemeriksaan yang dilakukan anggota pasukan menemui sebanyak 4,000 karton rokok dengan anggaran nilai RM400,000 dengan nilai cukai berjumlah RM568,000.

“Nilai keseluruhan rampasan adalah RM1.2juta termasuk harga tiga buah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terdiri daripada masing-masing sebuah Toyota Vellfire, Toyota Alphard dan sebuah Proton Exora,”katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang hari ini.

Menurutnya, kes akan disiasat mengikut Seksen 135 (1) dan Seksen 35 (1) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai rampasan atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih 20 kali ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Modus operandi kumpulan ini adalah mencari satu lokasi yang sunyi sebagai tempat operasi memunggah rokok berkenaan sebelum dipasarkan ke kedai-kedai runcit sekitar bandar Kluang dan Paloh.

“PDRM akan terus menjalankan pembenterasan terhadap kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi, minyak masak bersubsidi, arak dan rokok yang boleh menyebabkan kerugian kepada hasil negara,”katanya.

Beliau turut berharap orang ramai dapat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti-aktiviti seperti itu agar keselamatan dan ketenteraman terpelihara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI