fbpx
NOR ATIKAH MOHD. GHAZALI (dua dari kiri) memegang timba untuk mengangkut air bagi memudahkan urusan memandikan ibunya yang sakit di Kampung Paya Kelubi, Pendang semalam.

Penduduk tertekan seminggu bekalan air terputus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG – Lebih 4,000 penduduk di tujuh taman perumahan dan dua kampung di sini tertekan apabila terpaksa berdepan dengan masalah terputus bekalan air sejak seminggu lalu.

Penduduk mendakwa, walau pun aduan dibuat setiap hari tetapi Syarikat Air Darul Aman (SADA) tidak mengambil perhatian serius masalah tersebut.

Keadaan itu menyebabkan penduduk Taman Rafflesia, Taman Melati, Taman Delima, Taman Melor, Taman Mawar, Taman Seri Pendang, Taman Seri Emas dan Kampung Paya Kelubi serta Kampung Tempoyak terpaksa melalui hari-hari sukar tanpa bekalan air.

Seorang penduduk Taman Seri Emas, Halim Hamidun, 48, berkata, bekalan air di kawasan itu terputus terus sejak Ahad lalu hingga menyukarkan kehidupan seharian terutamanya bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga ramai.

“Selama ini gangguan bekalan air biasanya tidak melebihi dua hari dan akan kembali pulih walaupun tekanan rendah pada lewat malam hingga awal pagi.

“Kami masih mampu berjaga malam untuk menadah air tetapi sejak terputus terus bekalan air seminggu ini ianya amat meme­ritkan,” katanya yang ditemui semalam.

Penduduk Kampung Paya Kelubi, Siti Sarah Desa, 68, berkata, sepatutnya SADA perlu menyedia­kan kontraktor secukup­nya untuk menghantar air ke kawasan itu.

“Ini tidak, mereka (kontraktor air) dahulukan penduduk yang buat panggilan telefon sedangkan kami warga emas yang tidak pandai guna alat perhubungan itu akan lewat terima bekalan.

“Sepatutnya air diagih sama rata dan berjadual bukan hanya dihantar dalam kapasiti banyak di kawasan tertentu sebaliknya kami penduduk kampung kurang menerima bekalan itu,” katanya.

Sementara itu, Ghazali Ishak, 63, penduduk kampung Paya Kelubi berkata, dia terpaksa membawa isterinya Saliha Saad, 62, tinggal di inap desa selama dua hari tiga malam bagi memberi keselesaan untuknya mandi dan mencuci diri kerana baharu menjalani pembedahan membuang jari kaki akibat diabetes.

“Jika tunggu di rumah tentunya menyukarkan menjaga kebajikan isteri kerana tiada air.

“Saya terpaksa membawa anak, menantu dan dua cucu bagi memudahkan mereka mandi dan membasuh walau pun terpaksa membayar sewa inap desa dengan harga tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, penduduk berharap SADA lebih prihatin melantik lebih banyak kontraktor menghantar air selain membuat penghantaran air secara bergilir dan tidak hanya menumpukan kawasan tertentu hingga mengabaikan kawasan lain yang juga terkesan. -KOSMO! ONLINE

POPULAR