fbpx
MOHD. HAIKAL menunjukkan ikan tenggalan yang berjaya dipancingnya.

Tenggalan diburu kerana harga tinggi di pasaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

POPULARITI ikan sungai dalam kalangan penggemarnya kerap kali membuatkan permintaan terhadap hidupan air tawar itu mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Bagi sesetengah ikan sungai yang dianggap sukar diperoleh, harganya boleh mencecah puluhan ringgit, malah ada antaranya yang dijual sehingga ratusan ringgit.

Melihat kepada permintaan yang tinggi terhadap ikan sungai, Mohd. Haikal Rosli, 36, cuba menggunakan kemahirannya dalam memancing ikan sungai untuk memburu beberapa spesies ikan air tawar itu untuk dijual.

Dia yang berasal dari Temerloh, Pahang berkata, antara ikan sungai yang kerap menjadi buruannya adalah tenggalan yang banyak mendiami sepanjang Sungai Pahang.

Malah katanya, aktiviti memburu spesies itu menjadi rutinnya setiap minggu bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Disebabkan saya masih bekerja di sektor awam, saya hanya berpeluang untuk turun ke sungai bagi memancing ikan selepas waktu kerja iaitu antara pukul 5.30 petang sehingga pukul 7 malam.

“Jika ada kelapangan pada cuti hujung minggu, barulah saya menghabiskan waktu siang dengan memancing di beberapa spot di sepanjang Sungai Pahang berhampiran Temerloh,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai ikan tenggalan yang menjadi buruannya itu, Haikal berkata, dia kerap menjadikan kawasan berhampiran sangkar ikan milik penternak di sekitar Temerloh untuk memancing ikan itu.

IKAN tenggalan diminati ramai biarpun banyak tulang.

Jelasnya, ikan berkenaan banyak bermain di bawah sangkar ikan bagi mencari sisa makanan yang jatuh ke bawah.

Bagaimanapun katanya, seseorang pemancing itu harus mempunyai kemahiran untuk mengenalpasti spot yang mungkin menjadi lubuk ikan tenggalan, selain mahir membaca keadaan air yang bersesuaian.

“Untuk memburu ikan ini, biasanya saya akan turut ke sungai sekiranya air agak jernih, selain paras air surut dan arus yang perlahan.

“Malah, saya akan mencari kawasan yang mempunyai paras air yang dalam dan terang kerana lokasi seperti itu biasanya menjadi kegemaran ikan tenggalan untuk mencari makanan,” ujarnya.

Menurut Haikal lagi, kebiasaannya dia akan menaiki bot miliknya seorang diri untuk memancing di beberapa kawasan berhampiran sangkar peliharaan di sepanjang Sungai Pahang di Temerloh.

Jika mempunyai masa yang panjang terutama pada hujung minggu, dia akan menyusuri Sungai Pahang untuk ke beberapa lubuk ikan di kawasan hulu terutama di sekitar Kuala Krau dan Jerantut yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Temerloh.

Bercakap mengenai peralatan yang digunakan pula, Haikal memberitahu, dia kerap menggunakan joran bersaiz sederhana dengan dipadankan dengan mata kail bersaiz antara 13 hingga 17.

Bagi tali pula, dia kerap menggunakan tali perambut jenis benang bersaiz 20 paun dan disambungkan dengan tali utama jenis tangsi bersaiz 10 paun.

Dia juga akan menggunakan umpan daripada dedak ikan yang terdiri daripada beberapa perisa terutama kelapa dan vanilla, dan dibancuh bersama air sungai mengikut sukatan yang betul bagi mengelak ia mudah terlerai ketika dicampak ke dalam air.

UMPAN yang digunakan terdiri daripada dedak ikan.

Jelasnya, sepanjang bergelar kaki pancing yang kerap memburu ikan tenggalan di Sungai Pahang, dia pernah menaikkan ikan air tawar dari spesies itu seberat 4.4 kilogram.

Namun katanya, saiz ikan yang kerap diperoleh adalah sekitar 500 gram sehingga 2kg dengan hampir kesemua hasil tangkapan melebihi 1kg akan dijual kepada pelanggan yang terdiri daripada rakan-rakannya sendiri.

“Kebiasaannya, harga ikan tenggalan ini dijual sekitar RM80 bagi saiz ikan seberat antara 1kg hingga 2kg dan bagi ikan yang melebihi berat 2kg, harganya boleh mencecah sehingga RM120 sekilogram.

“Kebiasaannya, saya akan memuat naik hasil tangkapan ikan sungai termasuk tenggalan di dalam laman sosial Facebook saya setiap kali turut ke sungai untuk memancing ikan.

“Apabila sampai ke darat, pasti sudah ada pelanggan yang menunggu untuk membeli kerana ikan tenggalan ini memang menjadi antara spesies ikan air tawar yang enak dijadikan hidangan walaupun mempunyai banyak tulang,” katanya.

Tambahnya, ikan tenggalan juga jarang dijadikan hidangan di restoran kerana faktor harganya yang tinggi menyebabkan pemilik restoran bimbang untuk menjualkan kepada pelanggan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN