fbpx

Penjana Kerjaya: Perkeso perketat pemantauan elak penyelewengan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammed Azman - FOTO/AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memperketatkan pemantauan serta tidak akan berkompromi dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa jika terdapat majikan bertindak menyeleweng dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya).

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pihaknya mempunyai pendekatan dengan meneliti data melalui Artificial intelligence (AI) sekali gus memastikan kejadian itu tidak berulang lagi.

“Memang kita buat semakan dan tapisan ketat ke atas dokumen malah, kita buat panggilan rawak kepada mereka yang kononnya ditawarkan pekerjaan, membuat lawatan mengejut selain melihat kepada risikan pihak terlibat dari masa ke masa.

“Ia proses yang dijalankan secara berterusan tetapi bagi mereka menyalahgunakannya, kita tidak akan berkompromi berdasarkan AI kita perolehi daripada sistem kita untuk disalurkan kepada pihak berwajib bagi tindakan susulan,” katanya pada sidang akhbar Program JaminKerja-Insentif Penggajian (JKIP) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai penambahbaikan Perkeso susulan isu yang dilaporkan sebelum ini berhubung terdapat majikan mengemukakan tuntutan palsu dan menyeleweng dana Penjana Kerjaya.

Dalam pada itu, Mohammed Azman berkata, pihaknya meneliti permohonan oleh majikan melalui proses tertentu dan daripada situ, terdapat segelintir kecil kurang daripada satu peratus yang mengambil kesempatan.

“Secara dalaman kita mempunyai pendekatan melihat data yang ada melalui AI, berdasarkan parameter yang boleh kita anggap mungkin ia disalahgunakan oleh mereka.

“Bukan kita tidak pantau tetapi ada daripada mereka yang mungkin ada cara manipulasi konon nampak bukan dibuat-buat. Tapi lepas kita buat lawatan, tapisan ketat selain menemu duga pekerja, baru kita tahu ada unsur-unsur menjurus ke arah penyelewengan,” ujarnya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 37 individu kerana terlibat dalam penyelewengan tuntutan palsu Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) susulan operasi besar-besaran bersama Perkeso. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI