fbpx

Permohonan ATR naik sebanyak 210 peratus suku kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
pembukaan semula sempadan antarabangsa dan pelancaran laluan baharu oleh syarikat penerbangan menunjukkan industri penerbangan kini dalam proses pemulihan. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Permohonan Hak Trafik Udara (ATR) daripada syarikat penerbangan telah bertambah sebanyak 32 permohonan bagi tempoh suku kedua tahun ini yang terdiri daripada 28 laluan udara antarabangsa dan empat laluan udara domestik.

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dalam laporan ATR suku tahunannya iaitu dari 1 April hingga 30 Jun 2022 memaklumkan, terdapat pe­ningkatan permohonan ATR sebanyak 47.6 peratus berban­ding suku per­tama tahun 2022 (S1 2022) peningkatan ATR sebanyak 210 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya (S2 2021).

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, peningkatan ketara ini didorong oleh pembukaan ­se­mu­la­ sempadan antarabangsa Malaysia pada bulan April 2022.

Turut disokong adalah ini­siatif syarikat penerbangan untuk mengembangkan rangkaian antarabangsa mereka sejajar dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa oleh negara-negara lain.

“Dalam usaha melakar arah tuju dalam tempoh pasca pandemik, Mavcom terus komited dalam peranan Suruhanjaya sebagai pengawal selia komersial dan ekonomi industri penerba­ngan awam di Malaysia.

“Kami amat berbesar hati dan menyokong keputusan syarikat penerbangan untuk meneroka sek­tor-sektor baharu sebagai se­bahagian daripada strategi pe­mulihan mereka dengan pemberian kelulusan ATR bagi laluan-laluan baharu seperti Pulau Pinang ke Denpasar, Phnom Penh dan Pekanbaru dan juga Johor Bahru ke Phnom Penh, ­Pekanbaru dan Kualanamu,” kata­nya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Gambar hiasan.

Selain itu, Suruhanjaya melaporkan bahawa peningkatan permohonan ATR pada S2 2022 disokong lagi oleh keputusan syarikat-syarikat penerbangan untuk meneroka sektor baharu dalam usaha mengukuhkan rangkaian penerbangan mereka.

Ini dilihat dengan permohonan ATR untuk beberapa laluan udara baharu dari lapangan terbang sekunder di Malaysia iaitu dari Johor Bahru dan Pulau Pinang ke pelbagai destinasi di ASEAN.

Suruhanjaya juga membuat penekanan bahawa terdapat pe­ningkatan dalam kekerapan kapasiti penerbangan ke Australia dan New Zealand oleh syarikat penerbangan Malaysia, melalui kebebasan udara kelima (fifth freedom) dari Indonesia ke Australia serta Australia ke New Zealand.

Sementara itu, dalam suku tersebut juga, Mavcom telah meluluskan 31 daripada 32 permohonan ATR yang diterima daripada syarikat penerbangan yang menunjukkan kadar kelulusan sebanyak 96.8 peratus. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI