fbpx

Hantaran kahwin jangan ikut selera ‘orang kayangan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
MOHD. RASDAN AHMAD
WARTAWAN EKSEKUTIF

MELIHAT kepada salah satu rancangan berkonsepkan kewa­nitaan terkenal yang disiarkan hampir 30 tahun di sebuah ste­sen televisyen tempatan, terselit satu segmen tentang majlis per­kahwinan ‘gah’.

Kebiasaan yang menjadi ‘content’ bagi segmen tersebut adalah golongan artis serta anak-anak orang kaya terutamanya anak datuk dan tan sri.

Rancangan itu dilihat sepertinya tiada orang susah, tiada majlis kahwin yang kecil serta sederhana, yang ditampilkan ha­nyalah kemewahan.

Sejujurnya, pasti ada pasa­ngan pengantin yang mahu maj­lis mereka tampil gah seperti dipertontonkan, namun pokoknya adakah mereka mampu.

Soal kemampuan selalu dike­tepikan, apa yang diutamakan adalah majlis sekali seumur hidup itu nampak gah dan mewah selain mengikut cita rasa hati.

Akibatnya ada yang terpaksa berhutang ribuan ringgit sehingga anak darjah empat pinjaman dibuat belum habis bayar.

Dalam hal ini, di sebalik ke­legaan ibu bapa pengantin apabila majlis anak selesai, terdapat susuk tubuh yang mula mencatur perbelanjaan ekoran kos perkahwinan termasuk wang hantaran mengikut selera mewah mereka.

Tindakan bermegah mereka rata-ratanya tidak fikir tentang kehidupan selepas berkahwin yang memerlukan wang yang banyak untuk membina kehidupan baharu.

Wang hantaran antara yang paling ingin didengari oleh orang sekeliling, ketika ini kebiasaannya sudah mencecah RM20,000 pa­ling rendah RM10,000 itupun pe­ngantin perempuan yang ada diploma bidang pertanian.

Apa yang perlu dijelaskan di sini, wang hantaran kahwin merupakan hadiah berbentuk wang tunai yang diberikan oleh pihak bakal suami kepada bakal isteri. Nilainya perlulah diterima dengan rela hati oleh kedua-dua belah pihak.

Pemberian ini ‘tidak wajib dan tidak perlu sebenarnya’. Apa yang wajib adalah mas kahwin yang perlu disediakan pengantin lelaki bagi memuliakan kaum wanita. Ia menandakan kaum lelakilah yang mencari dan berusaha mengeluarkan hartanya demi pasangan hidupnya.

Menurut Mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Wan Mohd. berkata, aga­ma Islam sebenar­nya menuntut urusan perkahwinan dipermudahkan.

Katanya, Islam menyarankan supaya hantaran mahar oleh pihak pengantin lelaki tidak membebankan sehingga boleh menghalang atau menyukarkan perkahwinan.

“Terkadang pihak pengantin lelaki terpaksa berhutang untuk memenuhi tuntutan mahar yang tinggi oleh keluarga gadis yang ingin dikahwini.

“Menurut hadis Nabi, wanita yang paling diberkati di dalam kehidupan kekeluargaannya ia­lah yang paling kurang mahar­nya,” jelasnya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Bagaimanapun persoalan mahar ini bergantung kepada kewangan pihak pengantin lelaki. Jika dia daripada golongan kaya maka boleh memberi kepada pihak pe­rempuan mahar yang sesuai de­ngan kemampuannya.

Katanya, apa yang perlu di­pertimbangkan di sini adalah mahar yang diberikan itu tidak sampai membebankan sehingga menyukarkan pernikahan atau menyusahkan pasangan terbabit setelah mendirikan rumahtangga disebabkan hutang.

“Jadi kita ingin menasihatkan pengantin lelaki dan perempuan supaya berbincang dengan ikhlas agar urusan perkahwinan dilaksanakan dengan mudah tanpa membebankan mana-mana pihak demi kebaikan masyarakat Islam seluruhnya,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI