GEORGE TOWN – Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa penggunaan vape meningkat dua kali ganda dalam kalangan wanita muda termasuk pelajar sejak akhir-akhir ini.
Aktivis Anti Tembakau dan Pegawai Pendidikan CAP, N.V Subbarow berkata, tinjauan pihaknya mengenai penggunaan vape dalam kalangan gadis muda mendapati, semakin ramai yang ketagih dengan peranti tersebut.
“Penggunaan vape dan e-rokok dalam kalangan generasi muda ini telah meningkat dua kali ganda berbanding tahun lalu.
“Golongan muda tidak sedar bahaya yang bakal mereka hadapi, malah lebih teruk lagi, ada yang menggunakan cecair perasa mengandungi nikotin,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Menurut Subbarow, walaupun banyak risiko tentang penggunaan vape telah didedahkan, namun masih ramai yang belum sedar.
‘’Jika Kementerian Kesihatan (KKM) tidak membendung masalah ini, lebih ramai generasi muda dijangka terdedah dengan risiko menghisap vape pada masa hadapan,’’ ujarnya.
Tambahnya, ketika ini di Pulau Pinang, banyak gerai di tepi jalan menjual vape.
Justeru, CAP menggesa KKM dan pihak berkuasa tempatan supaya tidak mengeluarkan lesen baharu untuk membuka kedai vape atau e-rokok di negara ini.
“Lebih banyak kempen pendidikan kesihatan harus dimulakan di sekolah dan universiti serta ibu bapa harus memainkan peranan penting bagi mendidik anak-anak mereka,” ujarnya.
Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan berkata, Kabinet memutuskan untuk melarang penjualan vape kepada individu yang lahir dari tahun 2005.















