fbpx

Baki komitmen hutang 1MDB RM32.08 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul.

KUALA LUMPUR – Setakat 30 Jun lalu, jumlah baki komitmen hutang 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) adalah RM32.08 bilion dengan andaian kadar tukaran wang asing AS$1 bersamaan dengan RM4.50.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi tempoh April 2017 hingga Mei lalu, kerajaan menyalurkan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman atau pendahuluan sebanyak RM10.85 bilion.

“Bantuan tersebut adalah melalui Kementerian Kewangan (MOF) dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) untuk bayaran komitmen dan faedah hutang 1MDB berikutan masalah kewangan dihadapi 1MDB sebelum ini.

“Selain bantuan kewangan langsung kerajaan, faedah hutang 1MDB turut dibiayai menggunakan dana pemulihan aset 1MDB yang disimpan dalam satu Akaun Amanah di bawah MOF dikenali Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset,” katanya dalam jawapan bertulis di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menurut beliau, setakat 30 Jun lalu, jumlah dana pemulihan aset 1MDB yang berjaya diperoleh semula adalah RM19.28 bilion daripada beberapa mata wang asing termasuk dolar Amerika Syarikat, dolar Singapura dan dolar Australia.

“Dana ini telah dan akan digunakan bagi tujuan pembayaran hutang 1MDB dengan RM10.84 bilion digunakan untuk pelunasan hutang 1MDB setakat 30 Jun lalu.

“Pada masa ini, dana itu masih berbaki RM8.83 bilion (termasuk hibah dan untung atau rugi tukaran asing),” jelasnya.

Bukan itu sahaja, tambah Tengku Zafrul, proses untuk mendapatkan semula dana 1MDB sedang berjalan dan menyifatkannya sebagai suatu proses rumit dan panjang serta boleh memakan masa bertahun lamanya.

“Ini bukan sahaja melibatkan kerjasama beberapa agensi tempatan dengan asing, malah turut meliputi proses perundangan di mahkamah dan proses rundingan penyelesaian,” katanya.

Tegas beliau lagi, kerajaan tetap komited dalam meneruskan usaha untuk mendapatkan semula semua dana berkaitan 1MDB yang telah diseleweng, sama ada melalui tindakan undang-undang mahupun rundingan penyelesaian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI