fbpx
Sofia (tengah) bersama kakitangannya di pejabat Miracle Express di Denai Alam baru-baru ini.

Miracle Express aktif kuasai lokasi terpencil, luar bandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Siapa sangka, idea awal untuk membuka sebuah kios kecil bagi menawarkan perkhidmatan kurier khususnya untuk memudahkan syarikat menghantar tempahan pakaian kepada pelanggan tujuh tahun lalu, kini telah menjadikan ia sebagai sebuah operator utama dalam industri tersebut.

Melalui idea unik dan kreatif daripada usahawan wanita, Sofia Mansor, 42, itu terbinalah empayar perniagaannya, Miracle Express yang beribu pejabat di Denai Alam, Selangor.

Beliau teruja mencabar diri meneroka bidang per­khidmatan kurier sehingga syarikat itu mampu berdiri teguh bersama syarikat gergasi lain menguasai segmen pasaran masing-masing.

Sebelum ini, Sofia tertumpu kepada perniagaan menjual pakaian dan berdepan dengan masalah menghantar pakaian yang ditempah pelanggan kerana ketiadaan perkhidmatan kurier di kawasan sekitar butiknya.

“Ketiadaan operator kurier di Denai Alam telah ­menyebabkan saya mengambil peluang membuka kios kecil bagi memudahkan urusan menghantar pakaian kepada pelanggan.

“Masyarakat setempat juga menggunakan perkhidmatan kami dan seterusnya memberi idea kepada saya untuk lebih serius dalam bidang ini” katanya ketika ditemui di pejabat Miracle Express baru-baru ini.

Pada tahun 2016, syarikat memulakan operasi dan memiliki beberapa jenama kurier utama di bawahnya seperti Pos Laju, Abx Express, Lineclear Express, DHL Express, City-Link Express J&T Express, Ninja Van, Pegeon dan Aramex.

“Kami menjadi wakil kepada syarikat kurier ternama yang menawarkan pelbagai khidmat kurier di bawah jenama francais Miracle Express.

“Konsepnya adalah menjadi pusat sehenti kurier di bawah satu bumbung.

“Sebelum itu, kami perlu memohon lesen daripada setiap pemain utama tersebut untuk menawarkan perkhidmatan kepada pe­langgan,” jelasnya.

Anak kelahiran Kluang, Johor itu, optimis industri kurier mampu menawarkan potensi perniagaan untuk jangka panjang kerana ia adalah perkhidmatan yang diperlukan oleh semua perniagaan dan masyarakat setiap hari dan setiap masa.

Sepanjang mengoperasikan perniagaan tersebut, Sofia optimis terhadap bidang tersebut kerana ia hanya melibatkan perkhidmatan mengendalikan operator kurier bagi memastikan mereka menawarkan servis terbaik kepada para pelanggan.

“Masalah barang lambat sampai atau barang rosak dalam perjalanan untuk dihantar kepada pelanggan hakikatnya bukan tanggungjawab kami sebagai pengendali untuk menyelesaikannya kerana ia adalah di bawah bidang kuasa syarikat kurier tersebut.

“Kami hanya dapat membantu dengan menghubungi syarikat kurier tersebut dan melaporkan kepada mereka.

“Sehubungan itu, pihak kurier akan membuat penambahbaik­an daripada isu berkenaan.

“Di sinilah tugas kami untuk memaklumkan kepada pelanggan mengenai perlindungan dan juga hak pengguna,” jelasnya.

Tambah Sofia, sehingga kini syarikat memiliki 90 ejen yang menawarkan perkhidmatan kurier untuk penghantaran dalam negara dan juga luar negara.

Lebih menarik, Miracle Express juga adalah ejen berdaftar di bawah Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) untuk menawarkan perkhidmatan insurans khususnya kenderaan kepada pelanggan runcit.

Melalui perkhidmatan tersebut, orang ramai dapat memperbaharui cukai jalan dan insurans kenderaan dengan lebih mudah hanya melalui online.

Menurut beliau, cabang perniagaan tersebut menyumbang sejumlah nilai yang besar kepada pendapatan syarikat kerana hampir setiap orang memiliki sebuah kereta dan juga motosikal, maka mereka perlu memperbaharui cukai jalan dan insu­ransnya setiap tahun.

Tambah Sofia, melalui ledakan perniagaan secara online bukan sahaja di kawasan bandar tetapi meluas kepada kawasan luar bandar dan terpencil, Miracle Express kini mahu menembusi segmen tersebut.

Ia sangat berpotensi ke­rana masih ramai penduduk di kawasan tersebut sukar mendapatkan perkhidmatan berkenaan selama ini

Sehubungan itu, bagi melicinkan lagi inisiatif tersebut, syarikat bakal memperkenalkan per­khidmatan Mex On The Go yang menjurus kepada konsep mudah alih ke kawasan kampung dan terpencil bagi membolehkan komuniti mendapatkan khidmat kurier menghantar pelbagai barangan ke destinasi masing-masing.

“Kami sudah membuat kajian mengenai konsep perniagaan ini, sebagai contoh di kawasan di Kota Tinggi, Johor, penduduknya terpaksa memandu hampir satu jam ke bandar untuk mendapatkan khidmat syarikat kurier dan sekiranya Mex On The Go menembusi kawasan tersebut, ia akan memudahkan urusan dan menjimatkan masa masyarakat di situ.

“Pelanggan boleh memilih ­jenama daripada senarai operator kurier kerana ada syarikat mengehadkan aktiviti penghantaran mereka dan pelanggan terpaksa memilih operator lain yang masuk ke kawasan mereka,” ujarnya.

Sofia yakin Mex On The Go mampu menaikkan nama syarikat dalam industri ini kerana ia juga memberi peluang kepada usahawan baharu menceburi bidang berkenaan.

Tambah beliau, modal yang diperlukan adalah kira-kira RM100,000 lengkap dengan kenderaan untuk bergerak masuk ke kawasan kampung dan terpencil dengan melibatkan hanya seorang pekerja.

“Pulangan atas pelaburan berkenaan dijangka diperoleh selepas setahun beroperasi dan kami mengunjurkan untuk ­menyediakan kira-kira 30 Mex On The Go di kawasan luar bandar di Pantai Timur dan Selatan.

“Bagi pertambahan ejen termasuk pengendali Mex On The Go, kami menyasarkan sebanyak 100 cawangan setiap tahun,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN