fbpx
NORHANAZIELAH menunjukkan gambar kenangan bersama arwah suaminya pada Hari Raya Aidilfitri Mei lalu.

Bapa kempunan lihat wajah anak ketiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN – Penunggang motosikal yang maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Choong Eu, Gelugor di sini semalam, tidak sempat menatap wajah anak ketiganya yang dijangka lahir pada ming­gu hadapan.

Norhanazielah Hanazi, 28, berkata, dia tidak dapat menahan kesedihan dan masih terkejut dengan kejadian yang menimpa arwah suaminya, Muhamad Eizreel Muhamad Roszaidi, 25, pada pukul 4.30 pagi semalam.

Wanita itu pergi ke lokasi kejadian walaupun sarat me­ngandung untuk melihat sendiri keadaan suaminya selepas dimaklumkan kejadian tersebut oleh rakan-rakan.

“Lagi bertambah pilu apabila anak-anak berusia lapan dan empat tahun menangis apabila diberitahu bapa mereka mening­gal dunia.

“Saya pula sedang menghitung hari untuk bersalin anak ketiga kami yang dijadualkan pada 27 Julai ini. Arwah yang paling tidak sabar menanti kehadiran cahaya mata ini dan segala kelengkapan sudah siap dibeli,” katanya ketika ditemui semalam.

Norhanazielah memberitahu, arwah suaminya menghantar pesanan WhatsApp pada pukul 2 pagi untuk bertanyakan tentang keadaannya dan anak-anak.

Cerita wanita itu, sejak ke­belakangan ini, arwah mahu sentiasa berdamping dengannya dan anak-anak di rumah.

“Dia sanggup tidak pergi kerja semata-mata mahu membawa kami berjalan-jalan dan makan,” katanya yang membe­ritahu suaminya bekerja sebagai runner.

Selain Muhamad Eizreel, turut terkorban dua rakannya iaitu Muhamad Shazwan Hakim Mohd. Abdul Sani, 22, dan Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19.

Jenazah Muhamad Eizreel dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda di Sungai Ara. -KOSMO! ONLINE

POPULAR