fbpx
Antara wanita disyaki GRO yang ditahan dalam operasi terbabit -FOTO: IHSAN JIM KL

Tarian GRO pukau pelanggan ke premis hiburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Taktik sebuah premis hiburan yang menawarkan wanita pelayan pelanggan (GRO) untuk menari di atas pentas berjaya ‘memukau’ lelaki berhidung belang ke sebuah premis hiburan di sekitar Taman Shamelin Perkasa.

Difahamkan, pelanggan yang terpukau dengan tarian wanita terbabit akan memberikan selempang berharga antara RM100 hingga RM1,000 sebagai tips berdasarkan persembahan yang dipamerkan mereka.

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar selepas Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur melakukan serbuan di premis terbabit kira-kira pukul 10 malam tadi.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohsin berkata, serbuan itu dibuat selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung aktiviti tidak bermoral berkenaan sebelum risikan dilakukan selama seminggu di premis terbabit.

“Kita telah memeriksa seramai 81 individu membabitkan pengunjung serta pekerja di premis berkenaan dan daripada jumlah tersebut, seramai 30 wanita warga asing serta dua lelaki tempatan berusia 22 hingga 39 tahun ditahan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 24 wanita warga Thailand, empat wanita warga Vietnam dan dua wanita warga Laos yang dipercayai bekerja sebagai GRO manakala dua lelaki warga Bangladesh yang ditahan dipercayai bekerja di premis tersebut,” katanya selepas mengetuai operasi terbabit malam tadi.

Syamsul Badrin turut memberitahu, berdasarkan pengakuan GRO, aktiviti tidak bermoral tersebut dilakukan di premis terbabit sejak beberapa bulan lalu untuk menarik minat pengunjung.

“Mereka akan disarungkan selempang oleh pelanggan dengan harga bermula RM100 hingga RM1,000 berdasarkan persembahan tarian mereka di atas pentas.

“Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” jelasnya – KOSMO! ONLINE

POPULAR