AKTIVITI memburu ikan sungai bukanlah satu perkara yang mudah, apatah lagi apabila hidupan tersebut sangat terkenal dengan sifatnya yang suka bersembunyi di celahan batu dan kawasan lubuk.
Namun, bagi seorang kaki pancing, Muhammad Safizi Ahmad Zaharuddin, 27, kesukaran untuk menjinakkan pelbagai spesies ikan sungai itu telah dijadikan cabaran kepada dirinya.
Meminati aktiviti memancing sejak kecil, anak jati Kampung Kuala Sat yang terletak di kawasan Ulu Tembeling, dekat Jerantut, Pahang itu seakan-akan sudah sebati dengan aktiviti itu dan memahami cara untuk menjinakkan hidupan sungai berkenaan.
“Sebut saja di mana ada ikan, sama ada parit, tali air, anak sungai, sungai berjeram, paya dan seumpamanya, semuanya pernah menjadi tempat saya memancing ikan. Cuma ketika kecil, aktiviti memancing dilakukan sekadar suka-suka dan mengisi masa lapang,” katanya kepada K2.
Cerita Muhammad Safizi, dia mula menjadikan aktiviti memancing sebagai hobi yang serius kira-kira lima tahun lalu selepas menikmati pengalaman manis menjinakkan ikan sungai bersaiz besar.
Ketika itu katanya, dia dipelawa beberapa orang rakan sekampungnya untuk memburu ikan di Sungai Sat yang terletak di kawasan kampungnya.
Menerusi teknik mengilat atau casting, dia menggunakan beberapa jenis gewang yang dipinjamkan rakan.

MUHAMMAD SAFIZI menggunakan teknik casting sewaktu memancing ikan di Sungai Sat.
“Pada masa itu, rakan-rakan saya mengajar teknik yang betul untuk memancing beberapa spesies ikan sungai menggunakan teknik casting.
“Selepas agak kepenatan memburu ikan di beberapa kawasan lubuk di Sungai Sat, gewang saya disambar seekor ikan bersaiz besar dengan agak kasar, menyebabkan saya sangat teruja.
“Tidak sangka selepas beberapa minit bertarung, seekor ikan sebarau seberat kira-kira tiga kilogram (kg) dibawa naik dan itu merupakan ikan terbesar dari spesies berkenaan yang pernah saya jinakkan sepanjang hidup saya. Bermula detik itulah, saya mula menggilai aktiviti memancing,” katanya.
Jelas Muhammad Safizi, teknik casting memberi banyak kelebihan terutama bagi memburu ikan sungai.

Ini kerana terangnya, spesies ikan sungai seperti kelah, tengas, sebarau dan kerai merupakan spesies yang gemar bermain di kawasan berbatu selain kawasan lubuk yang mempunyai aliran air yang tenang untuk bersembunyi dan mencari makan.
Pun begitu, dengan teknik casting katanya, pemancing bukan sahaja perlu menjadi pemburu dengan melemparkan gewang dan umpan di segenap penjuru sungai, tetapi juga perlu mahir mengenal pasti lokasi persembunyian ikan.
Jelas Muhammad Safizi lagi, bagi membuatkan gewang dilempar dengan mudah dan jatuh tepat ke lokasi sasaran, dia kerap menggunakan tali utama bersaiz kecil dan ringan iaitu sekitar 10 paun (lb) serta dipadankan dengan tali perambut bersaiz 20lb hingga 30lb mengikut kesesuaian.
“Jika memancing di laut, kolam atau tasik, pemancing boleh melemparkan umpan di mana saja dirasakan sesuai dan menunggu umpan dijamah ikan tetapi apabila memancing ikan sungai menggunakan teknik casting, pemancing perlu tahu di mana lokasi ikan bersembunyi dan bagaimana untuk memburu dan menarik perhatian ikan.
“Apabila gewang atau umpan direntap ikan dengan ganas, ketika itulah terasa nikmat memancing kerana seseorang pemancing itu akan sedaya upaya menjinakkannya menggunakan kemahiran yang ada bagi mengelak ikan terlepas,” ujarnya.

Tambahnya, sejak bergelar pemancing tegar, dia cuma membawa pulang spesies ikan sungai yang matang dan bersaiz besar untuk dijadikan hidangan keluarga dan jiran-jiran, manakala ikan kecil dilepas semula bagi memastikan populasinya terpelihara.














