fbpx
KEADAAN kereta Proton Persona yang dinaiki empat beranak selepas dirempuh sebuah treler di KM277.1, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke selatan di Ipoh petang kelmarin.

‘Bukan seorang, tapi empat ahli keluarga meninggal dunia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBERANG PERAI – “Sekali pergi (meninggal dunia) sampai empat (orang), bukan satu, bukan dua dan bukan tiga. Saya memang betul-betul sedih.”

Itu kata Muhamad Hazman Rahim, 20, satu-satunya anak lelaki kepada pasangan Rahim Ramli, 60, dan Siti Petimah Omar, 59, yang maut dalam kemalangan membabitkan enam kereta dan sebuah treler di Kilometer (KM) 277.1, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke selatan di Ipoh kira-kira pukul 3 petang kelmarin.

Turut terkorban ialah dua kakaknya iaitu Nor Hadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27.

Ketika kejadian, empat beranak yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Persona itu dari Sungai Petani menuju ke Kuala Lumpur sebelum dirempuh sebuah treler yang dalam perjalanan dari Taiping menghala Bukit Beruntung, Selangor.

Rempuhan itu menyebabkan treler tanpa muatan dan kereta terbabit menggelongsor ke hadapan dan merempuh lima buah kenderaan lain, namun pemandu dan penumpang lain tidak ce­dera.

Muhamad Hazman ketika ditemui berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu menerusi panggilan telefon daripada seorang lagi kakaknya, Nor Fatini, 22, yang ketika itu berada di Pulau Pinang.

“Kakak telefon cakap ayah dan mak dah meninggal dunia. Saya terkejut sebab semalam (Selasa) saya balik jumpa (mereka), cium tangan apa semua. Tengok-te­ngok hari ini (petang kelmarin) sudah tiada.

“Tak tahu nak cakap macam mana dah,” katanya yang ketika ini sedang menjalani satu latihan praktikal di sebuah syarikat di Perlis.

Tambah anak bongsu daripada empat beradik itu, dia masih terkejut dengan pemergian ibu bapa serta dua kakaknya secara serentak kerana mereka langsung tidak menunjukkan sebarang petanda mahu pergi buat selama-lamanya.

“Saya dah tahu yang mereka semua akan ke Kuala Lumpur untuk menghantar kakak (Nor Ha­dirah) ke tempat kerjanya setelah lama bercuti dan saya pun macam biasa akan cium tangan mak ayah sebelum balik.

“Apabila jadi macam ini (kehilangan empat ahli keluarga serentak), saya sedih dan tak tahu nak cakap macam mana lagi. Tinggal saya dengan seorang lagi kakak (Nor Fatini),” katanya dalam nada sebak.

Terdahulu, van yang membawa jenazah empat beranak itu tiba di pekarangan Masjid Permatang Pasir di Permatang Pauh di sini pukul 1.30 pagi semalam selepas selesai menjalani bedah siasat di Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

Jenazah Rahim yang juga pesara polis dan isteri serta dua anak mereka selamat dikebumikan dalam satu kubur kira-kira pukul 3 pagi dalam keadaan hujan renyai.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pemandu treler terbabit didapati mempunyai 13 saman kesalahan trafik yang direkodkan sejak 2008 hingga 2021 dan tiga daripadanya membabitkan kemalangan jalan raya.

“Ujian air kencing telah dilakukan terhadap suspek berusia 34 tahun itu dan mendapati dia tidak berada di bawah pengaruh dadah. Suspek kini direman tiga hari sehingga Sabtu ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE

POPULAR