fbpx

Cadangan bekas hakim selesai luar mahkamah diteliti kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti cadangan daripada sekumpulan bekas hakim bagi pertimbangan kemungkinan saman pemula yang dikemukakan mereka untuk mendapatkan pelarasan kenaikan pencen dan faedah diselesaikan di luar mahkamah.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mengesahkan kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima kertas cadangan itu pada 1 Julai lalu, namun tiada arahan dikeluarkan setakat ini.

Ujarnya, pihak AGC telah memanjangkannya kepada kerajaan yang juga dinamakan sebagai defendan dalam saman pemula tersebut dan memohon tempoh sehingga 29 Julai ini untuk mendapat arahan lanjut.

Sehubungan itu, Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menetapkan 16 Ogos ini bagi pengurusan kes agar kedua-dua pihak memaklumkan dan mengemaskini status terakhir hasil rundingan yang diadakan.

Mahkamah memberi tempoh dua minggu selepas 29 Julai kerana perkara itu turut melibatkan pihak-pihak lain termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Terdahulu, peguam Christopher Leong yang mewakili sekumpulan bekas hakim berkenaan memberitahu, pihak AGC memaklumkan secara bertulis pada 4 Julai lalu bahawa agensi itu memohon masa sehingga 29 Julai ini bagi mendapat arahan lanjut.

Ujar beliau, hari ini sepatutnya ditetapkan untuk pengurusan kes bagi memaklumkan perkembangan sama ada saman pemula itu kemungkinan diselesaikan tanpa perbicaraan.

Menurut Christopher, pada pengurusan kes 26 Mei lalu, defendan-defendan memaklumkan keterbukaan mereka untuk berbincang tanpa prejudis sama ada saman pemula itu kemungkinan diselesaikan secara baik.

Pada sesi pengurusan kes 21 Mac lalu, Mahkamah Tinggi masih menunggu maklum balas berhubung cadangan saman pemula diselesaikan melalui mediasi.

Cadangan tersebut sebelum ini disuarakan oleh Hakim Wan Ahmad Farid supaya kedua-dua pihak berbalah meneroka kemungkinan sama ada tuntutan saman 35 bekas hakim termasuk balu dan tanggungan mereka, dirujuk kepada perantara.

Pada 24 Januari lalu, sejumlah 28 bekas hakim serta balu dan tanggungan mereka memfailkan saman pemula terhadap Kerajaan Malaysia dan tiga yang lain kerana gagal memberikan kenaikan pencen yang sepatutnya diterima sejak 2015.

Mereka ialah bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff dan dua bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor dan bekas Hakim Besar Malaya wanita pertama, Tan Sri Siti Norma Yaakob.

Turut dinamakan sebagai plaintif dalam saman pemula itu ialah tujuh balu kepada bekas-bekas hakim termasuk balu kepada bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abdul Malek Ahmad.

Beberapa bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan Rayuan turut dinamakan sebagai plaintif ialah Datuk Pajan Singh Gill, Datuk Mahdev Shankar, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof, Datuk Seri Mohd. Hishamudin Md. Yunus dan Datuk Shaik Daud Ismail.

Selain Kerajaan Malaysia, Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam turut dinamakan sebagai defendan kedua hingga keempat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI