BACHOK – Keputusan cemerlang seorang hafiz al-Quran yang meraih 12A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 baru-baru ini membuka pintu rezeki buatnya apabila menerima tajaan menunaikan umrah.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Bachok, Muhammad Izz Darwisy Zamani, 18, menerima pakej tajaan Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) yang disampaikan wakil syarikat itu, Ahmad Hakim Lukmanul Hakim dalam perhimpunan khas melibatkan 682 pelajar di Dewan Abu Bakar Al-Siddiq di sini hari ini.
Muhammad Izz Darwisy berkata, sumbangan itu menjadi inspirasi besar buat dirinya dan pelajar lain untuk terus mencipta kecemerlangan dalam bidang akademik dan agama.
“Saya tidak menduga menerima sumbangan pakej umrah bernilai RM7,490 yang secara tidak langsung merealisasikan impian saya untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci pada usia muda.
“Ayah dan ibu akan mengiringi saya nanti. Tarikhnya masih belum ditetapkan lagi oleh pihak Andalusia mungkin sebelum saya memulakan pengajian dalam bidang asasi perubatan tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Muhammad Izz Darwisy berkata, peluang berucap di hadapan pelajar lain turut memberi pengalaman berharga apabila dapat berkongsi motivasi dan nasihat kepada warga sekolah.
Sementara itu, Pengetua SMKA Tok Bachok, Muhd. Fadhli Jusoh berkata, Muhammad Izz Darwisy merupakan pelajar pertama di sekolah itu menerima tajaan umrah atas kecemerlangan akademik.
Katanya, dua pelajar hafiz muda iaitu Muhammad Izudin Hasmadi, 16, ditaja untuk menunaikan umrah pada tahun lalu oleh Yayasan Pendidikan Selangor dan Adib Sufyan Suhaimi,13, ditaja Qaswa Travel.Izudin merupakan pelajar Orang Asli pertama yang berjaya khatam al-Quran dalam tempoh empat tahun, manakala Adib Sufyan pula menghafaz 30 juzuk dalam tempoh hanya lima bulan. – KOSMO! ONLINE














