KUALA LUMPUR – Sering dipersoalkan tentang konsistensi dalam soal berhijiab, pelakon Fasha Sandha meminta orang ramai memberi fokus kepada isu semasa termasuk harga pasaran minyak berbanding mengenai imejnya yang dikatakan masih belum bertudung sepenuhnya ketika ini.
Menurut Fasha atau nama lengkapnya Nur Fasha Sandha Hassan, 42, isunya membuka hijab dalam beberapa buah drama sebelum ini adalah atas kehendak sendiri dan merupakan urusannya dengan keluarga.
“Saya tidak berhutang sebarang penjelasan dengan sesiapa pun. Saya simpan perkara ini untuk diri sendiri dan keluarga.
“Bagi saya, lebih baik fokus kepada isu-isu lain yang lebih penting seperti isu semasa, harga minyak atau diesel yang naik sebab lebih bermanfaat daripada membincangkan hal kecil.
“Saya tak pernah beri sebarang kenyataan tentang isu itu, jadi sampai bila-bila pun saya takkan beri komen mengenainya,” katanya kepada Kosmo! Online.
Mengulas kecaman mahu pun kekeliruan ramai mengenai penampilannya yang dikatakan ‘on off’ bertudung, dia tidak pernah memberi sebarang pengesahan untuk perkara tersebut sebelum ini.
Fasha bahkan berkata tidak kisah dengan kecaman dan tak mampu untuk menutup mulut orang ramai sebaliknya meminta menikmati sahaja setiap karya lakonannya.
“Saya tak boleh tutup mulut orang dan mereka bebas untuk berkata apa sahaja.
“Cuma kalau ditanya soalan seperti sudah berhijab atau belum, atau kenapa Instagram masih ‘free hai’r, saya tetap akan jawab tiada komen,” katanya lagi.
Ditemui ketika fotografi drama lakonannya, Puteri Kembang Malam, Fasha bertegas tindakannya berdiam diri selama ini bagi mengelakkan sebarang percanggahan kenyataan pada masa akan datang.
“Pada saya, ada orang yang sudah berhijab 10, 15 malah 20 tahun pun masih boleh berubah atas sebab tertentu. Semuanya berbalik kepada diri sendiri
“Sebab itu saya tidak selesa untuk memberikan sebarang kenyataan tentang penampilan saya dalam media sosial,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan lain, selain Fassha, drama Puteri Kembang Malam turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Chacha Maembong, Badron Munirah dan Zairi Aziz.
Naskhah tersebut bakal ditayangkan menerusi platform Tonton Original bermula 30 Mei depan. – KOSMO! ONLINE














