fbpx
MOHD HASNI didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini selepas memgaku salah memiliki dan mencuri pistol milik sebuah syarikat keselamatan, 12 April lalu.

Jumpa pistol dalam tandas dan simpan, buruh didenda RM4,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BATU PAHAT – Tindakan seorang buruh menyimpan sepucuk pistol bersama peluru hidup yang dijumpai dalam tandas stesen minyak mengundang padah selepas didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Hasni Muhamad, 36, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dihadapinya. Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal menjelaskan denda.

Tertuduh yang diwakili peguam, Kamarulariffin Nordin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan gagal membayar denda tersebut dan dihantar ke Penjara Kluang.

Bagi pertuduhan pertama, bapa tiga anak itu didakwa memiliki pistol jenis CZP-07 bersama 10 butir peluru hidup tanpa lesen sah di sebuah rumah di Taman Pasifik Selatan pada pukul 7.55 malam, 12 April lalu.

Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mencuri senjata milik syarikat keselamatan itu selepas menemuinya dalam tandas stesen minyak di Jalan Kluang pada pukul 4.15 petang, hari sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh menemui senjata dan peluru hidup yang ditinggalkan individu tidak dikenali ketika berada di tandas stesen minyak sebelum membawa pulang ke rumah.

Walaupun isterinya menasihati supaya memulangkan senjata itu, tertuduh enggan berbuat demikian. Kegiatan terbongkar selepas rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mengesan kelibat tertuduh sebelum polis menahannya di rumah.

Hasil siasatan mendapati pistol tersebut disimpan dalam kotak di stor belakang rumahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN