JOHOR BAHRU – Kejadian pembunuhan kejam melibatkan seorang wanita bersama bayinya berusia hampir dua bulan yang dibunuh ahli keluarga terdekat di Kampung Bakar Batu, di sini Isnin lalu didakwa berkait dengan unsur mistik.
Seorang jiran kepada keluarga suspek mendakwa, suspek mula mengalami gangguan selepas bekerja di tempat baharu sebagai pencuci kapal di Jambatan Lebuh Raya Senai Desaru, Kota Tinggi.
Berita berkaitan: Lelaki kelar leher wanita habis pantang, bayi 44 hari
Individu yang enggan dikenali itu berkata, suspek telah terlibat dengan kerja-kerja mencuci sebuah kapal tangki yang telah lama dibiarkan berhampiran jambatan berkenaan sejak kira-kira sebulan lalu.
“Suspek sebelum ini bekerja sebagai pencuci bangunan, tetapi sejak sebulan lalu, dia mendapat kerja baharu untuk cuci sebuah kapal yang telah beberapa tahun tersadai lamanya.
“Mengikut cakap rakan-rakan, suspek berubah sikap selepas bekerja di sana, ada masanya dia seolah-olah disampuk, sehingga beraksi seperti seekor harimau,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Ujar penduduk itu lagi, hanya unsur mistik yang dapat menjelaskan kejadian pembunuhan kejam berkenaan kerana sehingga kini, siasatan polis mendapati suspek bebas pengaruh dadah atau sebarang bahan terlarang.
Berita berkaitan: Ahli keluarga kelar wanita, bayi ditahan dalam keadaan bogel
“Penduduk di sini juga tidak mahu mendengar tuduhan-tuduhan negatif yang dilemparkan terhadap suspek kerana dia orang yang baik.
“Suspek dan juga mangsa memang orang baik, suspek sendiri bukan jenis yang sering melepak sehingga lewat malam atau terlibat dengan aktiviti-aktiviti seperti mat motor dan lain-lain,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, motif kejadian berkenaan masih dalam siasatan.
“Buat waktu ini, kita masih menyiasat motif pembunuhan kerana walaupun suspek memberikan kerjasama, dia lebih banyak ‘mengunci’ mulut.
“Ujian mental yang hendak dilakukan terhadap suspek pula, kita sedang tunggu arahan daripada mahkamah terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi.
Isnin lalu, seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai mengelar seorang wanita dan juga bayi lelaki di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu kira-kira pukul 12 tengah hari.
Suspek ditahan di Permas Jaya tidak lama selepas tular beberapa rakaman video yang memaparkan dia menunggang motosikal dalam keadaan berbogel di media sosial.














