fbpx

Parental Burnout ancam mental ibu bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keletihan mental dan fizikal akibat tekanan yang berpanjangan, seterusnya menyebabkan seseorang sering ‘bad mood’ atau mudah marah. - Gambar hiasan
ZURAINI MOHD KHALID
WARTAWAN EKSEKUTIF

RUNGUTAN letih dan penat menjadi ucapan harian yang keluar daripada mulut seorang rakan penulis yang membesarkan dua cahaya matanya yang baru berusia dua dan empat tahun.

Dia yang terpaksa membesarkan anak bersendirian kerana suami bekerja di Jepun sejak lima tahun lalu sering kelelahan dan adakalanya hati kecil wanita itu terdetik rasa menyesal kerana menjadi seorang ibu.

“Hendak berhenti kerja dan mengikuti suami, dia bukanlah kaya mana untuk menampung kehidupan kami anak-beranak.

“Malah, kos hidup di Jepun juga cukup tinggi menyebabkan saya memilih untuk terus me­netap dan bekerja dalam negara bersama anak-anak. Namun, saya sering menangis seorang diri akibat terlalu penat,” ujarnya.

Pakar psikiatri yang juga Pensyarah Kuliyyah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Rozanizam Zakaria berkata, golongan ibu khususnya yang tinggal berjauhan daripada suami lebih cenderung me­ngalami masalah keletihan akibat tugas menjaga anak-anak yang dipikul seorang diri.

“Tekanan yang dihadapi oleh golongan ibu bapa ini adalah di­sebabkan oleh masalah ‘parental burnout’.

“Ia merujuk kepada keletihan mental dan fizikal akibat tekanan yang berpanjangan, seterusnya menyebabkan seseorang sering ‘bad mood’ atau mudah marah, keadaan kesihatan yang merosot dan juga rasa sepi dan kesunyian yang berpanjangan.

“Sama seperti simptom kesihatan mental yang lain, jika ­dibiarkan, ia boleh membawa kepada masalah yang lebih buruk,” jelasnya.

Mereka yang berisiko untuk mendapat parental burnout adalah golongan ibu muda atau ibu baharu, mereka yang mempu­nyai anak-anak yang masih kecil, ibu bapa dengan anak yang mempunyai masalah kesihatan atau perkembangan yang berbeza dan juga golongan ‘perfectionist’.

Ketiadaan sokongan emosi daripada suami, ahli keluarga dan rakan-rakan juga berpotensi menyebabkan keadaan mental si ibu bertambah buruk dan boleh mengakibatkan golongan itu bertindak luar kawalan.

Contoh paling sering dilihat adalah si ibu yang mengamuk dan memarahi anak di kawasan awam.

Netizen mungkin melihatnya sebagai satu bentuk tindakan yang menjengkelkan, namun ia sebenarnya mungkin adalah je­ritan meminta tolong daripada si ibu.

“Jika anda seorang ibu dan anda sedar bahawa anda sedang burnout, jangan takut untuk meminta bantuan daripada orang sekeliling.

“Cuba perbaiki perspektif terhadap masalah yang dihadapi, sebagai contoh, lihat hikmah dan kebaikan yang datang daripada setiap ujian hidup.

“Selain itu, sebagai orang awam pula, kita perlu memainkan peranan dengan menjadi pendengar dan memberi ruang kepada si ibu untuk berkongsi bebanan mereka,” ujar Rozanizam.

Sebagai netizen juga, usah terlalu cepat menghukum atau mengeji apabila melihat si ibu yang memarahi anak-anak mereka, cuba dekati dan ambil tahu punca si ibu berkelakuan sedemikian dan meninggikan sifat empati.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI