KUALA LUMPUR – Bekas calon bebas dewan undangan negeri (DUN) Tanjong Papat, Sabah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan membuat komunikasi jelik termasuk gagal memberi kata laluan berkaitan Perdana Menteri, UMNO melalui aplikasi TikTok dan YouTube, minggu lalu.
Bagaimanapun Jufazli Shi Ahmad, 33, yang juga selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab Razak.
Mengikut dua pertuduhan, dia didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik, telah memuat naik dua video, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, menggunakan aplikasi TikTok atas nama ‘King Maker’ dan YouTube ‘King Maker Politik’ pukul 3 petang pada 23 dan 27 Jun lalu.
Hantaran itu kemudian telah dibaca dan dilihat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, pada 24 Jun dan 1 Julai lalu.
Ia merupakan suatu kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Sementara bagi dua lagi pertuduhan, dia didakwa gagal memberi capaian kepada data berkomputer yang disimpan dalam telefon bimbit iaitu gagal memberi kata laluan kepada laman profil aplikasi TikTok atas nama ‘King Maker’ dan YouTube ‘King Maker’ Politik yang diminta oleh pihak polis.
Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, pukul 12.10 tengah hari dan 3 petang pada 5 Julai lalu.
Berikutan itu pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 249 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah Seksyen 242 sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd. Izhar manakala tertuduh diwakili peguam, Rajsurian Pillai.
Ketika prosiding, Nor Azizah mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan, dengan mengambil kira ia termasuk dalam kes berkepentingan awam.
Bagaimanapun, Rajsurian merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah kerana tiada pendapatan tetap.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, hakim Nor Hasniah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM14,000 bagi kesemua pertuduhan dan dia dikehendaki memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 29 Ogos ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














