fbpx

Khairat kematian suami tabung 3 anak lanjut pelajaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Yani (empat dari kiri) menyampaikan khairat kematian arwah Hafizan kepada isterinya, Sharifah (tiga dari kanan) selepas Majlis Sesi Libat Urus Bersama PPD Kota Bharu di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, Kota Bharu semalam. - Foto oleh ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Seorang guru tidak menyangka dapat menerima khairat kematian daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) sebanyak RM27,012.32 meskipun suaminya baru menyertai keahlian yayasan tersebut menerusi Skim 18 pada Disember lalu.

Sharifah Mohd. Noor, 53, berkata, suaminya, Hafizan Salleh, 52, yang bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu meninggal dunia pada 1 Jun lalu akibat serangan jantung semasa dalam perjalanan ke klinik dari rumah mereka di Pulai Chondong, Machang.

Menurutnya, dia dan tiga anak berusia 24,22 dan 20 tahun kehilangan arwah Hafizan secara mengejut apabila dia sebelum ini hanya menghidap kencing manis, namun tidak pernah memgalami sebarang masalah jantung.

“Arwah seperti sudah tahu akan pergi buat selamanya apabila dia meninggalkan bekalan iaitu khairat kematian YGMB ini kepada kami empat beranak. Dia tahu penyertaan keahlian yayasan ini dapat memberi manfaat kepada ahli keluarga sekiranya sesuatu terjadi kepadanya.

“Wang khairat kematian sebanyak lebih RM27,000 ini saya akan gunakan sepenuhnya untuk pendidikan tiga orang anak ke peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah. Besar harapan arwah untuk melihat anak-anak kami belajar ke ke peringkat yang tertinggi.

“Pada saya, ini merupakan hadiah atau peninggalan terbesar arwah kepada kami sekeluarga meskipun dia sudah tiada. Dia pergi semasa kami sekeluarga amat memerlukannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sesi Libat Urus Bersama PPD Kota Bharu di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Perancangan PPD Kota Bharu, Ahmad Yani Muhammad.

Dalam majlis tersebut, Ahmad Yani menyerahkan khairat kematian YGMB arwah Hafizan berjumlah RM27,012.32 kepada Sharifah yang juga merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkal Kalong, Ketereh di sini.

Tambah Sharifah, dia sendiri baru sahaja mendaftar ahli YGMB pada Mac lalu selepas mendengar nasihat mengenai manfaat penyertaan keahlian daripada arwah suaminya sebelum ini.

Sementara itu, Wan Munadi berkata, pihaknya sudah menyampaikan sumbangan sebanyak lebih RM20 juta kepada warga pendidik di seluruh negara sejak penububuhan YGMB pada tahun 1994.

Menurutnya, beliau ingin memberi penekanan kepada seramai 120,000 orang ahli YGMB agar menitikberatkan mengenai penyakit kritikal seperti serangan jantung, kanser, kencing manis, darah tinggi dan masalah buah pinggang dalam kalangan guru-guru.

“Berdasarkan rekod terkini, kita melihat ramai guru yang berusia dalam lingkungan 35 hingga 55 tahun menghidap penyakit-penyakit tersebut.

“Meskipun setiap ahli YGMB mempunyai jaminan perlindungan kesihatan dan kebajikan, namun mereka perlu tetap menjaga diri semasa bertugas. Ini bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku di kemudian hari,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI