fbpx

Yasin Sulaiman terlepas pertuduhan edar, hukuman gantung sampai mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yasin ketika dibawa ke Mahkamah Majistret dan Sesyen di sini hari ini. - FOTO: MUHAMAD IQBAL ROSLI

PETALING JAYA  – Penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman bernasib baik apabila terlepas hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis Kanabis seberat 214 gram di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Ia apabila pihak pendakwaan memaklumkan bahawa pertuduhan mengedar ditarik dan Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 47, akan dituduh dengan pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

Semasa prosiding di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol, Pengarah Pendakwaan Selangor, Khairul Azreem Mamat memohon supaya Yasin dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi pertuduhan mengedar dadah dan akan dituduh semula bagi pertuduhan baharu di Mahkamah Sesyen.

Peguam, Ariff Azami Hussein, Mohd Yusmadi  Mohd Yusoff dan Azizul Syariman Mat Yusoff yang mewakili Yasin tidak membantah dengan permohonan itu.

Selepas mendengar permohonan pihak pendakwaan tersebut dan tiada bantahan daripada pihak pembelaan, Majistret Iskandar membenarkan untuk pertuduhan baharu terhadap Yasin didakwa dan dibacakan di Mahkamah Sesyen.

Sementara itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jamaludin Mat, pertuduhan baharu iaitu memiliki Kanabis, kemudian telah dibacakan terhadap Yasin dan pelantun lagu Mimpi Laila tersebut mengaku tidak bersalah.

Mengikut pertuduhan baharu itu, Yasin didapati dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondomonium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu (2022).

Justeru, Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Yasin didakwa mengedar dadah berbahaya jenis sama anggaran berat 214 gram di tempat, waktu dan tarikh sama yang didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum 39B(2) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup atau gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu di Mahkamah Sesyen sama, bagi pertuduhan menanam 17 pokok ganja pihak pendakwaan memohon satu tarikh lain bagi serahan dokumen.

Mengikut pertuduhan, Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu  mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Selain pertuduhan baharu kesalahan memiliki, Yasin turut mengaku tidak bersalah bagi satu lagi pertuduhan lain yang turut dibacakan hari ini iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Ia merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Hakim Jamaludin kemudian menetapkan 22 Ogos ini bagi sebutan ketiga-tiga pertuduhan. Difahamkan pada tarikh itu, pihak pembelaan juga akan mengemukakan permohonan untuk jaminan bagi ketiga-tiga kes tersebut.

Turut hadir dalam prosiding hari ini, keluarga Yasin termasuk abangnya, Zain Sulaiman dan anak perempuan berusia 14 tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI