KUALA LUMPUR – Beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berdepan aksi sukar ketika meneruskan kemaraan ke pusingan suku akhir pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters.
Pada pusingan kedua yang berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil sebentar tadi, juara dunia itu dipaksa bermain selama 47 minit sebelum menang 21-19, 22-20 ke atas Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah dari Indonesia.
Turun sebagai pilihan kedua kejohanan, Tang Jie-Ee Wei diberikan tentangan sengit sejak set pertama lagi apabila saling bertukar servis dengan gandingan lawan.
Tang Jie mengakui, Amri-Nita menampilkan aksi cukup baik sepanjang perlawanan, namun sokongan padu penyokong sendiri membangkitkan semangat juang mereka.
“Saya rasa lawan hari ini pun bukan mudah kerana mereka merupakan beregu dalam kelompok 20 teratas dunia, jadi memang kita sudah bersedia untuk turun bermain.
“Penyokong-penyokong kita di sini memang banyak membantu kami di stadium, terutamanya apabila berdepan permainan intensiti tinggi seperti ini,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Menjelang aksi suku akhir esok, Tang Jie-Ee Wei dijadualkan berdepan pilihan kelapan dari China, Gao Jia Xuan-Wei Ya Xin yang menewaskan Supak Jomkoh-Ornnicha Jongsathapornparn 21-13, 21-13.
Sementara itu, pasangan profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai kempunan untuk meneruskan kemaraan selepas tewas 19-21, 21-7, 19-21 kepada beregu Taiwan, Wu Guan Xun-Lee Chia Hsin. – KOSMO! ONLINE














