fbpx

Tekanan bekalan air di P. Pinang pulih 12 tengah hari esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Operasi Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Dua di sini terpaksa dihenti tugas selama empat jam hari ini kerana kadar kekeruhan air mentah yang tinggi di Sungai Muda susulan kejadian banjir di Baling, Kedah.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, operasi loji itu ditutup pada pukul 8 pagi tadi kerana air mentah dari Sungai Muda dicemari selut dan pasir sehingga menyebabkan LRA tidak dapat berfungsi dengan baik.

Katanya, penutupan operasi LRA itu menyebabkan beberapa kawasan di Seberang Perai mengalami masalah tekanan air rendah untuk sementara waktu.

“Sebagai langkah segera, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengalirkan air dari Empangan Mengkuang yang berfungsi sebagai empangan penyimpanan air dalam menghadapi keadaan luar biasa ini.

”Air dari Empangan Mengkuang disalurkan ke LRA Sungai Dua dan loji berdekatan untuk meneruskan operasi agar bekalan air sampai kepada pengguna,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Kon Yeow, pada waktu-waktu biasa, PBAPP tidak menggunakan air dari Empangan Mengkuang kerana menggunakan sumber air dari Sungai Muda.

”Empangan Mengkuang mampu bertahan sehingga 100 hari dan menyalurkan air kepada 85 peratus pengguna di negeri ini.

”Pada masa ini, kita tidak dapat menggunakan bekalan air dari Sungai Muda mungkin dalam tempoh beberapa hari lagi sehingga air tidak lagi berselut di sungai ini,”katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa memberitahu, pihaknya menjangkakan tekanan bekalan air di semua saluran paip di seluruh Pulau Pinang pulih pada pukul 12 tengah hari Khamis (esok).

”PBAPP akan terus memantau kekeruhan air dari Sungai Muda secara berterusan. ‘Kami akan terus melepaskan air dari Empangan Mengkuang bagi memastikan tahap kekeruhan air mentah yang selamat untuk LRA Sungai Dua,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI