fbpx
FESYEN berasaskan metalik semakin mendapat tempat di pentas peragaan masa kini.

Tarik perhatian dengan gaya fesyen metalik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh FAIZAL HAMID

CERIA, segar dan mengujakan dengan sedikit elemen futuristik – metalik adalah antara trend popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Metalik bersinar di pentas peragaan antarabangsa musim terkini. Sememangnya kita mahu pakaian kita menjadi perhatian, namun berhati-hati kerana jika keterlaluan dengan trend metalik, dikhuatiri kita akan kelihatan seperti cyborg dari masa hadapan.

Bagi hasil terbaik, pastikan gaya solekan anda natural, dandanan rambut yang ringkas dan gayakan hanya satu aksesori metalik hebat (rona emas, perak, labuci atau rona permata) pada satu-satu masa yang dipadankan dengan pilihan rekaan pakaian gaya sederhana.

Di sini saya kongsikan panduan kreatif untuk menyuntik elemen glamor metalik dalam penampilan.

1. Kasut metalik

Jika anda baru mahu mencuba gaya metalik, pemakaian kasut metalik adalah cara dan permulaan paling mudah serta praktikal.

Kasut tinggi rona perak adalah alternatif kepada kasut pumps rona kulit (nude) yang anda ada. Ia boleh digayakan dengan hampir semua padanan, seperti jean, skirt, gaun koktel dan pelbagai pilihan.

Kasut metalik perak dapat menyuntik kombinasi sentuhan klasik dan kontemporari kepada padanan seluar jalur dan top kasual.

Untuk gaya sporty-cool dapatkan slip-on sneakers metalik sebagai pelengkap penampilan. Alternatif lain adalah sandal bertali atau gladiator, flats dan but.

2. Kemeja, top metalik

Mungkin kemeja atau top metalik hanya sesuai untuk acara parti, tetapi musim ini pereka menjadikan pilihan istimewa ini kelihatan mudah disuai padan.

Misalnya, camisole metalik yang menarik telah dipadankan dengan jean putih, skirt, blazer dan kasut tinggi, yang memudahkan transisi dari pagi ke malam.

ELAKKAN memakai pakaian metalik secara keseluruhan penampilan.

3. Skirt metalik

Cuba kombinasi segar ini. Padankan skirt metalik anda dengan baju panas cable-knit dan kasut flats, atau top jersi, jaket jean dan but.

Untuk gaya lebih chic, kombinasi skirt metalik, kemeja button down putih dan kasut tinggi pasti menjadi pilihan.

4. Jaket metalik

Jaket metalik adalah cukup versatil, edgy dan hebat, terpulang pada mood dan destinasi.

Anda boleh memakainya dengan jean atau gaun untuk gaya cool dan bersahaja. Padankan dengan sneakers, leggings, kemeja-T mengikut bentuk badan, atau jika berani aksesori metalik.

Apapun perlu dielak memakai jaket, gaun dan kasut tinggi yang kesemuanya dalam rona metalik – kerana gaya keseluruhan pasti kelihatan keterlaluan.

5. Gaun metalik

Pilihan berani gaun metalik, pasti dapat menyerlahkan penampilan hebat terutamnya untuk ke parti.

Tebuk leher tinggi (high neckline) atau yang tidak begitu terbuka sesuai untuk membuatkan gaun pendek metalik kelihatan lebih sofistikated.

Sempurnakan gaya anda hanya dengan memakai aksesori ringkas dalam rona hitam. Paling penting gayakan gaun metalik anda dengan penuh bangga, pasti anda menjadi perhatian.

FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam,Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN