fbpx
SITI NURHALIZA

Siti Nurhaliza tiada ‘bodyguard’ jaga anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERGELAR ibu kepada dua orang cahaya mata memberikan pengalaman baharu buat penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam menjalani kehidupan bersama suami tersayang, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Selama 11 tahun penantian selepas mendirikan rumah tangga pada Ogos 2006, Siti atau mesra disapa TokTi dalam kalangan peminat akhirnya diberikan rezeki zuriat sulung, Siti Aafiyah yang kini berusia empat tahun.

Berselang tiga tahun kemudian, Siti sekali lagi dikurniakan zuriat kedua, seorang bayi lelaki comel yang diberi nama Muhammad Afwa sebagai pelengkap menjalani kehidupan alam berkeluarga.

Kehadiran dua orang cahaya mata dalam kehidupan Siti dan juga suami sekali gus memberi peluang buat penyanyi nombor satu negara itu merasai pengalaman dan nikmat menjaga dua anak kecil seperti ibu-ibu yang lain.

Bergelar seorang selebriti popular bagaimanapun semestinya sedikit sebanyak memberi tempias pada anak-anak yang turut dikenali masyarakat.

SITI mengakui dirinya bukanlah seorang ibu yang sempurna dan perlu memperbaiki banyak lagi kekurangan untuk menjadi seorang ibu terbaik.

‘Bodyguard’

Keselamatan kedua-dua permata hatinya sudah tentu menjadi keutamaan bagi pelantun lagu Comel Pipi Merah itu terutama ketika berada di tempat awam.

Cuma buat waktu sekarang, Siti belum terfikir menyediakan khidmat pengawal peribadi atau ‘bodyguard’ untuk menjaga keselamatan anak-anaknya.
Tetapi katanya, perihal tersebut bergantung juga dengan persetujuan suaminya.

“Setakat ini tiada (guna khidmat pengawal keselamatan). Saya serahkan keputusan pada suami. Saya pun tidak ada guna pengawal keselamatan setiap masa.

“Cuma ketika ada acara tertentu sahaja untuk menjaga keselamatan sewaktu membuat persembahan. Kalau hari biasa, tak adalah,” ujarnya.

Melihat anak-anak tumbuh membesar di depan mata, Siti mengakui sebak terutama selepas puteri sulung kesayangannya, Aafiyah kini sudah pun memasuki alam persekolahan prasekolah.

PENYANYI dan usahawan berusia 43 tahun ini mengakui harus bijak membahagikan masa dengan baik antara kerjaya nyanyian, perniagaan dan keluarga.

Teruja

Ujar penyanyi yang mencipta nama menerusi pertandingan Hiburan Minggu Ini (MHI) tahun 1995 itu, dia sendiri berasa teruja apabila Aafiyah sudah mula bersekolah.

“Saya sendiri rasa teruja apabila anak (Aafiyah) sudah mula bersekolah. Prasekolah untuk membiasakan Aafiyah bergaul dengan kawan-kawan, membentuk disiplin diri dan mengikut peraturan.

“Saya mahu anak-anak berkembang dan membesar sama seperti anak-anak orang lain. Melihat Aafiyah, sama seperti saya melihat diri sendiri ketika kecil,” katanya.

Tambah penyanyi dan usahawan itu lagi, Aafiyah begitu seronok ketika hari pertama ke sekolah dan tidak meragam (menangis) ketika ditinggalkan.

“Aafiyah anak yang baik. Cikgu memaklumkan dia paling memberi respons dalam apa jua aktiviti seperti menari dan bersenam. Dia akan buat bersungguh-sungguh.

“Di rumah juga saya akan tanya dia tentang aktiviti di sekolah. Jadi Aafiyah akan bercerita,” jelasnya.

Bagaimanapun jauh di sudut hati, sebenarnya terdetik rasa bersalah dalam diri Siti apabila adakalanya terpaksa berkorban masa bersama anak-anaknya demi tuntutan kerja.

Bahkan, dia mengakui pernah terfikir untuk memperlahankan kerjaya seninya dek memikirkan masa bersama keluarga terutama anak-anak.

Siti mendakwa ada ketika dia perlu keluar bekerja seawal subuh dan pulang pada waktu malam ketika Aafiyah dan juga Afwa sudah tidur.

“Saya pernah terdetik untuk memperlahankan kerjaya seni demi keluarga terutama anak-anak. Ada waktu saya perlu keluarga bekerja seawal subuh dan balik waktu malam. Anak-anak pun sudah tidur.

“Saya rasa kasihan lebih-lebih lagi terhadap Afwa yang masih kecil. Afwa pun sudah pandai merajuk dan tidak mahu lepaskan saya. Jadi saya rasa bersalah,” katanya.

Pun begitu ujar Siti, selain memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, dia juga ada peranan lain iaitu menjadi majikan kepada pekerja-pekerjanya.

WALAUPUN mengakui penat menguruskan kerjaya dan anak-anak, namun Siti gembira dan puas dapat merasai pengalaman bergelar seorang ibu.

Queen Of The Night

Justeru, Siti sedaya upaya cuba membahagikan masa sebaik mungkin antara kerjayanya sebagai penyanyi dan juga usahawan dengan tanggungjawab di rumah sebagai isteri dan ibu.

Sementara berkongsi tentang kerjaya nyanyiannya, Siti teruja apabila bakal menganjurkan sebuah persembahan istimewa, Queen Of The Night Siti Nurhaliza yang diadakan pada 6 Ogos depan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Menariknya dalam persembahan tersebut, Siti akan menghiburkan sekitar 450 orang peminatnya dalam kalangan Keluarga Malaysia, B40 terdiri daripada golongan berpendapatan rendah, ibu tunggal dan anak yatim.

“Saya bersyukur dipilih oleh pihak penganjur, Be De Paris untuk menjayakan Queen Of The Night pada 6 Ogos nanti.

“Lebih mengujakan apabila saya diberitahu kesemua meja yang dijual pada malam itu nanti sudah habis dibeli oleh Yayasan Metamorphosis untuk disumbangkan kepada golongan B40 yang terpilih,” katanya.

Siti akan menghiburkan penonton yang mungkin sebelum ini sudah lama memendam impian untuk bertemunya dengan seleksi 15 buah lagu popular mengisahkan tentang wanita dan inspirasi sepanjang 90 minit persembahan.

Dalam pada itu, penyanyi tersohor itu juga menegaskan tidak akan sama sekali tampil dengan ‘show’ yang dianggap ‘double standard’.

“Sebagai penyanyi yang menghiburkan penonton, tiada istilah ‘double standard’ dalam persembahan. Untuk saya, paling utama penonton mendapat kepuasan.

“Jadi, saya perlu memberikan persembahan yang mantap, berkesan dan menghiburkan supaya apabila balik ke rumah, banyak momen indah dapat diingati mereka,” ujarnya.

SITI teruja dan tidak sabar untuk menganjurkan sebuah konsert istimewa berskala besar demi menghiburkan peminat-peminatnya. – MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN