fbpx

Tikam ahli keluarga selepas dengar bisikan halus sembah berhala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahli keluarga sebak ketika menunggu di luar pekarangan rumah mangsa kes bunuh di Paya Luboh, Tangga Batu, Melaka. Gambar RASUL AZLI SAMAD

MELAKA – Seorang penganggur bertindak menikam seorang ahli keluarganya sehingga mati selepas mendakwa terdengar suara halus memberitahu mangsa telah menyembah berhala di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 petang itu, mangsa, Rozizah Md. Dom, 63, meninggal dunia di lokasi dengan dua kesan tikaman di leher.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, pihak polis menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 3.05 petang dan sepasukan pegawai dikejarkan ke lokasi.

Katanya, hasil pemeriksaan dalam sebuah bilik menjumpai mayat seorang warga emas dengan kesan tikaman di bahagian kiri serta kanan leher dipercayai dilakukan oleh ahli keluarganya sendiri.

“Kita berjaya menangkap suspek yang berada di lokasi dan hasil soal siasat dia mengaku telah menikam mangsa menggunakan pisau pemotong sayur.

“Katanya sebelum kejadian dia terdengar bisikan halus memberitahu warga emas itu menyembah berhala,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, mangsa yang tinggal bersama suspek dan seorang lagi anak perempuannya berusia 30-an telah diserang ketika baru sahaja selesai mandi.

Ujarnya lagi, senjata yang dipercayai digunakan suspek turut dijumpai di bahagian belakang rumah.

“Selepas ditikam, difahamkan mangsa masih bernyawa dan suspek telah menyerahkan pisau itu kepadanya, namun wanita itu mencampakkannya ke luar tingkap bilik.

“Kita telah menjumpai senjata tersebut yang sepanjang 26 sentimeter,” katanya.

Zainol berkata, hasil semakan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau membabitkan kesalahan dadah dan sejarah rawatan psikiatri di Hospital Melaka.

“Kita masih melakukan siasatan sama ada suspek di bawah pengaruh dadah atau tidak ketika melakukan perbuatan itu.

“Untuk makluman suami mangsa baharu sahaja meninggal dunia pada bulan lalu, manakala suspek merupakan seorang duda,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI